Hari ini perhimpunan di sekolah mengumumkan beberapa pertandingan yang sedang dan akan dijalankan peringkat zon,negeri dan nasional. Aktiviti sukan dan kokurikulum berasaskan kurikulum juga sedang rancak dijalankan di semua sekolah. Merentas desa juga dirancang sebelum tibanya ramadan. Motivasi juga mememenuhkan taqwim semua sekolah buat masa ini. Pelaksana yang setia yang bernama cikgu juga terpaksa pecut satu-persatu bagi merancang melaksana semua agenda ini. Sekiranya di awal tahun sekolah selalunya sibuk dengan Kejohanan Olahraga Tahunan dan pebagai pertandingan sukan utama, masuk penggal dua lebih banyak event yang perlu dilalui di sekolah.
Salah satunya program Permata Pintar yang sedang dijalankan yang mempunyai tiga kategori menjawab soalan dalam Sains dan matematik sebanyak 148 soalan. Selebihnya adalah penulisan kreatif bagi kategori sekolah rendah. Sememangnya program sebegini adalah baik buat murid sekolah. Namun apabila diteliti ucapan Penolong Kanan Pentadbiran (PK pentadbiran) agak mengejutkan saya.
"Cikgu sudah pun menampal makluman berkenaan pertandingan Permata Pintar ini. jadi kepada murid yang berminat menyertainya boleh berbuat demikian dengan mendapatkan borang daripada saya kemudian jika mahu mencuba sendiri, murid-murid boleh menggunakan aplikasi dalam talian (online) dengan menjawab soalan-soalan yang diberikan." maklum beliau
namun ada pra-syarat yang dikenakan kepada murid:
"Berminat sahaja tidak cukup, hanya yang PINTAR SAHAJA yang boleh masuk pertandingan ini. Jika ada murid yang kurang pintarnya tidak perlu masuk buat malu sahaja nanti." jelas beliau lagi
Sebagai pendidik, hati kecil saya terasa dengan pengumuman sebegitu. Walaupun murid-murid hanya ketawa hanya dengan ungkapan kurang pintar tidak perlu masuk buat malu sahaja, jadi apa perlunya diumumkan kerana kebanyakan murid di sini kurang pintarnya berbanding sekolah-sekolah yang elit. Bagi saya, setiap murid ada potensinya, berilah peluang walaupun kita tahu murid kita tidak sehebat mana. Kita pendidik tahu keupayaan anak murid kita.
Walaupun potensi mereka setakat mencuba dan tidak berjaya. Paling penting sikap murid yang mahu mencuba bukan setakat mana dia pintar menjawab soalan. Secara peribadi, sistem pendidikan ita masih lagi jauh menuju ke arah merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Semangat mencuba perlu diterapkan kepada murid sekurang-kurangnya kita melahirkan insan yang mahu mencuba dan mencabar kebolehan diri.
Sebagai pendidik, tugas kita adalah membantu, mendorong serta membangunkan keupayaan murid bukan cuba membantutkan peluang kecemerlangan diri mereka.