Guru muda dan tua perlu ke pedalaman
Ditulis oleh: Fadzli, 10 March 2010 , Komen : 0

Minggu lalu mempunyai banyak pengumuman penting mengenai pendidikan. Terbaru, mengenai guru yang perlu bersedia berkhidmat di pedalaman. Sama ada guru baharu atau berpengalaman, mereka perlu dipertimbangkan untuk dihantar ke pedalaman. Sememangnya, guru yang muda dan berstatus bujang mungkin tidak bermasalah dengan hal ini. Bagaimana pula buat guru yang sudah berkeluarga kemudian perlu berkhidmat di pedalaman. Walaupun guru perlu menjadi lilin, berkorban demi kemajuan anak bangsa, perlu juga dilihat hal berkaitan kebajikan insan guru itu.

Jika ada guru berpengalamn yang sudah puluhan tahun berkhidmat kemudian sudah menetapkan niat untuk bermukim juga memiliki rumah di sesuatu kawasan, bagaimana pula golongan ini mahu mempertimbangkan ke pedalaman sebagai arahan untuk berkhidmat. Begitu juga ada di antara guru muda sudah mendirikan rumah tangga namun ditugaskan di luar, pertimbangan hal-hal kekeluargaan perlu diambil kira memandangkan mereka juga menjadi golongan yang berpotensi mengisi borang pindah jika keadaan terdesak. Walaupun pertimbangan untuk imbuhan ditambah, namun ada perkara khususnya aspek kekeluargaan juga harus menjadi hal yang penting. Ini kerana aspek emosi dan kesediaan guru mempengaruhi keselesaan untuk mengajar. Ada perkara jawapannya imbuhan, namun ada perkara perlukan pertimbangan kebajikan guru dari aspek yang lebih luas.


Imbuhan demi imbuhan dihamburkan
Ditulis oleh: Fadzli, 09 March 2010 , Komen : 0

Selama ini perjuangan golongan pendidik supaya profesion ini dimartabatkan dengan mengambil kira kebajikan mungkin dapat direalisasikan. Berdasarkan pengumuman menteri yang mahukan melonjakkan pendidikan ke tahap yang baik kini 'mencabar' guru dan pengurusan sekolah dengan imbuhan yang bakal diberikan jika sekolah meningkat prestasi. Walaupun perlu menunggu perincian pak menteri menjelang sambutan Hari Guru 2010, sedikit sebanyak ada yang senyum sampai ke telinga khususnya warga pendidik.

Jika dahulu hanya pentadbir mendapat pujian dan sanjungan tetapi rezeki mungkin berpihak pada guru yang turut sama bersusah payah menaikkan nama sekolah. Sambil tidak mengenepikan sumbangan kepemimpinan pendidikan yang terdiri daripada pentadbir, seharusnya pendidik juga berhak mendapat kredit dan imbuhan yang setimpal dengan usaha keras mereka. Sesetengah masyarakat mungkin mempertikaikan mengapa guru perlu diberikan banyak ganjaran padahal kualiti guru mungkin dapat dipertikaikan. Namun harus disedari dalam membangunkan sekolah, kerja keras guru tidak mengira masa sekolah semata-mata. Ada yang bersengkang mata dalam memastikan persediaan yang terbaik bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Semua warga pendidik menunggu perincian yang mahu didedahkan nanti. Harapan golongan pendidik biarlah apa yang mahu diberikan seperti imbuhan gaji dan kenaikan pangkat tidak pula perlukan prasyarat yang lain sehingga janji hanya tinggal janji.


Pelbagai jenis label sekolah, boleh kelirukan masyarakat
Ditulis oleh: Fadzli, 02 March 2010 , Komen : 0

Jika diteliti, 20 buah sekolah yang diangkat sebagai Sekolah Beprestasi Tinggi mempunyai kredibiliti yang tersendiri. Namun label sekolah kluster yang dahulu yang menjadi penanda aras sekolah negara dilihat kurang fungsinya masa kini. Walaupun sekolah kluster dipilih mengikut piawaian namun dengan SBT sedikit sebanyak menurunkan populariti sekolah kluster. Terbaru dengan sebanyak 500 buah sekolah bakal ditarafkan sebagai sekolah lima bintang sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya ke mana halanya dengan pelbagai label yang diberikan kepada sekolah.

Adakah dengan wujudnya pelbagai penarafan ini hanya memperbanyakkan kategori atau jenis sekolah berbanding fungsi yang jelas bagi memacukan kecemerlangan sekolah. Terlalu banyak label tanpa ada rasional yang kukuh hanya dapat mengelirukan masyarakat. Adakah sekolah juga nanti ada penarafan sekolah paling popular supaya memudahkan masyarakat mengiktirafkan sekolah berkenaan yang paling terbaik dari baik-baik belaka.


Derita Adik Syafia biar jadikan pengajaran
Ditulis oleh: Fadzli, 28 February 2010 , Komen : 0

Emosi menyelubungi seluruh rakyat Malaysia kerana gejala mendera yang dasyat telah berlaku. Mangsanya adik Syafia yang selamat dikebumikan semalam. Sebagai warga pendidik, kita semua mengucapkan takziah kepada keluarga adik Syafia. Tidak keterlaluan jika mahu dikatakan manusia yang berwatak binatang sanggup menjadikan seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa sebagai 'bola' tendangan semata-mata melampiaskan nafsu amarah yang tiada keseudahan.

Sungguhpun, pelbagai kes yang membabitkan penderaan. Malah seketika dahulu, seorang kanak-kanak yang juga mangsa dera dicucuh rokok dan pelbagai kecederaan lagi. Sedarkah atau tidak orang-orang begini yang senang-senang mendera dan menganggap nyawa hanya mainan biasa. Mungkin bagi segolongan ini beranggapan nyawa juga boleh dibeli. Semua pasti marah dengan keadaan ini. Komen ini tidak mahu menekan keluarga mangsa, tetapi perbuatan di luar kewarasan akal manusia tidak dapat diterima sama sekali.

Para pendidik khususnya mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjadi agen penyampai pendidikanyang kini bukan sahaja kepada anak murid malah keluarga serta masyarakat. Perbuatan ini mungkin berulang jika tidak ada komitmen semua pihak khususnya warga pendidik yang dapat menyemaikan ilmu kepada akar umbi.


Sibuk dengan sukan, PIBG dan kerja pengurusan
Ditulis oleh: Fadzli, 24 February 2010 , Komen : 1

Awal tahun adalah masa yang sibuk buat para pendidik. Di samping P & P yang menjadi bisnes teras pendidik, kerja pengurusan juga menjadi agenda seharian yang dapat menyibukkan guru. Tidak keterlaluan dikatakan ia kadang-kadang menganggu tugas P & P. Perkara ini sudah lama didebatkan, namun biasanya guru juga dipersalahkan kerana tidak pandai susun prioriti. Sukan juga menjelma saat ini, latihan sukan serta merentas desa juga boleh membuatkan guru hilang fokus, apatah lagi jika ada rakan seperjuangan tidak memberi komitmen.

PIBG juga sudah mula bersidang, agenda itu dan ini dibincangkan sehingga masak namun keputusan yang dicapai kadang-kadang tidak pun dilaksanakan. Ini bukan sekadar luahan berbaur negatif namun jerit ayah guru kadang-kadang diperlekehkan sesetengah pihak yang menganggap guru adalah pekerjaan sekerat hari. Malah ada yang kata senang sahaja jadi guru pergi pagi pulang tengahari. Kebanyakan kerja semua percuma belaka, demi melakukan yang terbaik untuk anak bangsa.


Selamat Tahun Baru Cina
Ditulis oleh: Fadzli, 10 February 2010 , Komen : 0

Pihak web cikgumalaysia.com mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada pegunjung berbangsa Tiong Hua. Semoga kerjaya perguruan tahun ini mendapat kejayaan dan berkembang serta menyinar. Semoga limau yang diberi menjadi emas yang menguntungkan, bukan semata-mata sebagai tanda persefahaman dan persahabatan pendidik. Semoga keberanian Tahun Harimau menjadikan profesion perguruan dipandang tinggi di mata masyarakat.


Pertanyaan pengunjung web
Ditulis oleh: Fadzli, 02 February 2010 , Komen : 0

Berikut pertanyaan seorang pengunjung yang dihantar ke web cikgumalaysia.com, diharapkan ada yang dapat respons:

 

Selamat sejatera.Saya seorang guru sekolah rendah dari penang.soalan saya,
guru guru gstt yang mempunyai degree di seluruh malaysia diberi gaji dc41
kecuali penang.JPN dgn pps penang tidak menunjukan black and white yang sah
untunk practice ini.guru gstt sekolah rendah penang merasa dukacita ...
bagaimana ke kami dapat dibantu


Sekolah hebat
Ditulis oleh: Fadzli, 26 January 2010 , Komen : 0

Tahniah kepada semua sekolah yang terpilih menjadi sekolah berprestasi tinggi. Ternyata pengumuman menteri memberikan gambaran transformasi serta tanda aras untuk pendidikan Malaysia. Diharapkan dengan pengumuman ini mampu memberikan semangat pada sekolah berkenaan.


Cukupkah buku teks di sekolah
Ditulis oleh: Fadzli, 21 January 2010 , Komen : 0

Kepada pengunjung cikgumalaysia.com, kami ingin bertanya adakah buku-buku teks disekolah memang cukup atau tidak. Jika tuan-tuan mempunyai pandangan mengenai hal ini boleh sahaja dimasukkan dalam ruangan komen. Kononnya ada yang kata buku teks di sekolah tidak cukup. Apa benarkah begitu?


Bagaimana memohon guru sandaran tidak terlatih
Ditulis oleh: Fadzli, 18 January 2010 , Komen : 2

Ramai yang masih lagi bertanya mengenai mahu menjadi guru sandaran tidak terlatih. Buat pengunjung web cikgumalaysia, memohon guru sandaran tidak terlatih adalah dengan mengubungi mana-mana Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing bagi mengetahui keperluan menjadi guru sandaran tidak terlatih. Lebih baik lagi jika saudara berhubung dengan mana-mana sekolah terdekat dengan berjumpa sendiri dengan guru besar atau pengetua masing-masing.

Pengambilan adalah bergantung kepada keperluan dan kehendak semasa pihak yang berkenaan. Apa sahaja usaha yang mahu dilakukan, saudara perlu berhubung dengan pihak yang disebutkan. Oleh kerana maklumat kekosongan guru sandaran biasanya tidak diiklankan.


Tahniah kepada guru permulaan
Ditulis oleh: Fadzli, 17 January 2010 , Komen : 0

Cikgumalaysia mengucapkan selamat bertugas kepada guru permulaan dengan posting yang pertama. Diharapkan dengan tahun baharu menjadikan kita lebih bertenaga dalam mengharungi tugas sebagai guru. Sentiasa menjadi guru yang sejati.


Tahun Baru yang banyak agenda
Ditulis oleh: Fadzli, 07 January 2010 , Komen : 2

Tahun baru ini diharapkan menjadi suatu kelainan kepada dunia pendidikan negara. Dengan pelbagai isu yang menghiasi 2009, pendidikan nampaknya menjadi agenda utama negara. Pendidikan menjadi perkara penting untuk pembangunan insan negara. MBMMBI yang sudah dijangka menjadi agenda utama kerana tuntutan pelaksanaan lebih awal pada 2011. Walaupun pelbagai ranjau berduri golongan pendidik dan NGO yang lain bertungkus-lumus membantah PPSMI, masih ada lagi yang mahukan PPSMI. Jelas sekali tahun ini perlu perubahan supaya pendidikan negara tidak lagi dijadikan eksperimen pihak tertentu. Semoga datangnya 2010, mampu memberikan harapan baru kepada pendidikan negara.

Selamat tahun baru daripada cikgumalaysia.com


Gejala sosial yang tidak sudah-sudah
Ditulis oleh: Fadzli, 21 December 2009 , Komen : 3

Apabila membaca Harian Metro minggu yang lepas, ada terbaca muka depan yang melaporkan seorang remaja perempuan belasan tahun dilatah oleh 14 orang lelaki yang dipercayai teman-temannya. Memang selalu sangat mendengar topik hangat sebegini, namun laporan itu juga menyebabkan saya mengucap panjang kerana, si mangsa hanya selamba sahaja, walhal kegiatan itu dihidu oleh keluarganya sendiri melalui rakaman yang tersimpan dalam telefon bimbit.

Dengan kecanggihan teknologi, apa sahaja yang dilakukan oleh remaja dikatakan cerdik namun ia hanya menipu diri sendiri. Namun dikatakan remaja itu, selamba serta berasa tiada apa walaupun maruah rela diberikan begitu murah kepada 14 orang lelaki. Sedar ataupun tidak sedar, tindakan dia itu menjadi berita hangat akhbar malah lebih buruk lagi maruah keluarga yang menanggung.

Kita sebagai pendidik bersimpati dan cuba merasai perasaan keluarga terbabit namun bahu yang memikul lebih rasa peritnya kerana seorang anak dara yang sanggup memalukan keluarga dengan cara murahan sebegitu. Dipengaruh atau terpengaruh, kita sendiri tidak tahu sehingga tindakan remaja berkenaan dengan mudah mengikut arus hidup moden yang dikatakan lebih 'ummph' buat generasi kini.

Namun diharapkan kita sebagai pendidik lebih menggiatkan kegiatan kesedaran kepada diri, keluarga dan masyarakat supaya kegiatan tidak manis dan tiada moral dapat dibanteras dengan bersungguh-sungguh.


Pengetua dan guru besar berhak pecat guru…
Ditulis oleh: Fadzli, 19 December 2009 , Komen : 1

Awal disember yang lalu, timbalan menteri ada menyatakan yang kandungan revolusi pendidikan yang akan diketengahkan bakal memberikan kuasa mutlak memecat guru kepada guru besar dan pengetua. Jika dilihat kepada niat dan kehendak transformasi pendidikan, mungkin ia ada baiknya namun berbaloikah jika kuasa yang diberikan dapat menjanjikan efisien kepada pendidikan negara.

Jika di luar negara, kebanyakan guru mampu dipecat oleh pengurusan sekolah memandangkan lesen untuk mengajar adalah ditanggung sendiri oleh guru berkenaan. Dalam erti kata lain, guru mengeluarkan wang sendiri menghadiri kursus yang berwajib bagi menjadi seorang guru. Jadi mudahlah bagi pihak pengurusan untuk memecat mana-mana guru yang tidak menepati KPI yang ditetapkan.

Perkembangan ini, mampu meletakkan sekolah ke tahap yang memuaskan kerana kuasa yang diberikan kepada guru besar dan pengetua memecat guru mampu membuang mana-mana guru semborono atau kurang pencapaian dan inisiatif mereka ke arah kecemerlangan sekolah. Tetapi jika kuasa yang diberikan tidak mempunyai batas, bimbang salah guna kuasa boleh berlaku sehingga menyebabkan kebajikan guru tidak terbela. Jika ada masalah, guru yang tidak disukai boleh dibuang manakala yang baik di mata guru besar dan pengetua dikekalkan.

Apabila berbual dengan beberapa pentadbir dan guru biasa, terdapat rasional yang baik jika kuasa mutlak memecat guru kepada guru besar dan pengetua. Ia termasuk menjadikan transformasi berjalan dengan lancar khususnya peringkat akar umbi iaitu sekolah. Bermakna guru yang betul-betul bermasalah baharu dipecat dan bukan guru yang tidak disukai kerana sifat lantang memberikan cadangan baik kepada pihak pengurusan.

Oleha sebab itu, ada baiknya pelaksanaan ini mempunyai kajian yang mendalam sehingga mengambil kira kebajikan serta kedudukan guru dan sumbangan mereka supaya kuasa yang diberikan kepada guru besar dan pentadbir tidak disalahgunakan. Mungkin juga ada jawatankuasa khas mengkaji keputusan guru besar dan pengetua dan mekanisme rayuan diadakan bagi mencabar kembali keputusan yang kurang relevan jika kuasa ini diberikan kepada mereka.

Guru permulaan yang berstatus GST juga adalah golongan yang perlu diperhatikan dari segenap sudut supaya mereka benar-benar kompeten menjadi guru jika tidak guru besar dan pengetua berhak memecat terus mereka jika mereka ternyata melanggar peraturan dan tidak mempunyai personaliti yang baik sehingga mencemarkan nama baik pendidikan negara.Heboh ketika dahulu seorang guru menyertai pertandingan ratu pondan menjadi justifikasi jelas yang golongan seperti ini perlu disingkirkan terus dari perkhidmatan perguruan berasaskan kuasa guru besar dan pengetua. Maka ia menjadi perkara yang jelas untuk menggunakan kuasa memecat ke atas individu guru yang tidak bertanggungjawab serta tidak bermoral.

Walaubagaimanapun, Falsafah Pendidikan Guru dapat dijadikan asas kepada menggubal dan menyediakan kuasa mutlak untuk guru besar dan pengetua memecat guru. Jangan nanti hanya berbeza pendapat, pecat sana serta pecat sini dengan semudahnya.


Salam Maal Hijrah 1431
Ditulis oleh: Fadzli, 18 December 2009 , Komen : 1

Web cikgumalaysia.com mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1431. Semoga dengan kehadiran tahun yang baru ini, menjadi pemacu kepada kecemerlangan diri kita dan masyarakat demi memajukan pendidikan negara. Diharapkan dengan memberikan pendidikan kualiti menjadikan generasi kita menjadi masyarakat yang terdidik, berilmu, bersopan-santun dan menjunjung cita-cita agama dan negara.


Temuduga Perguruan : Perkara kecil berimpak besar- bah 4
Ditulis oleh: Fadzli, 18 December 2009 , Komen : 0

Bahagian akhir temuduga perguruan ini mahu membincangkan berkenaan dengan isu semasa yang kadang-kadang membolehkan kekurangan markah ketika temuduga. Perkara ini pernah saya bualkan bersama orang yang menemuduga calon perguruan. Mereka berpendapat apabila merujuk kepada isu semasa, ramai yang dikatakan kurang inisiatif untuk mengambil tahu hal-hal yang berkaitan isu semasa. Isu semasa dapat dibahagikan kepada fakta dan pengetahuan.

Kebanyakan soalan penemuduga dapat dijawab sekiranya calon bersedia dengan efektif berkenaan fakta. Namun, kebanyakan calon gagal berhadapan dengan soalan tahap mudah ataupun pengetahuan sahaja. Sebagai contoh, adakah cuti itu hak atau keistimewaan. Bagi yang kurang bersedia, mereka pastinya menjawab cuti sebagai hak seorang pekerja namun jawapan adalah sebaliknya. Ada perkara yang tidak memerlukan hafalan yang mendalam namun cukup sekadar mengambil tahu berkenaan isu semasa.

Jika memperkatakan berkenaan perguruan, seharusnya hal-hal seperti dasar pendidikan, dasar negara yang dihaharukan atau yang baharu, apa yang terjadi di sekeliling, Konsep Satu malaysia dan perkembangan terbaru Dasar MBMMBI serta Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2011-2015 perlu dikunyah oleh calon guru bagi memastikan saudara berada dalam senarai orang yang ambil tahu apa yang terjadi berkenaan negara dan dunia. Kadang-kadang ada soalan yang tidak perlukan jawapan yang betul namun cukup sekadar pandangan yang bernas serta meyakinkan penemuduga. Perkara paling penting adalah jangan cuba goreng tanpa fakta yang betul, kreadibiliti saudara sebagai calon akan jatuh seterusnya menggagalkan laluan untuk menjadi guru.


Selamat Berjaya!


Temuduga Perguruan : Perkara kecil berimpak besar- bah 3
Ditulis oleh: Fadzli, 17 December 2009 , Komen : 0

Apabila menjelaskan pengalaman kerja dan kerja sosial:

Saudara perlu menyebut dengan teratur dan jelas, jika boleh dalam bentuk kronologi atau perkara yang menonjolkan kekuatan saudara dalam alam pekerjaan. bagi melihat calon guru yang kompeten, penemuduga mencari:

  1. Penjelasan yang dapat menonjolkan kekuatan kerja yang kuat, kerjasama berkumpulan semasa bekerja, bertanggungungjawab dan nilai-nilai yang positif bagi mengisi jawatan guru.
  2. Jika saudara mempunyai kelebihan aktiviti kokurikulum yang banyak, saudara dapat nyatakan dengan jelas peranan dan jawatan yang disandang. Sebagai contoh bermain bolasepak peringkat negeri, jurulatih renang dan seumpama dengannya supaya kemahiran yang ada dapat dicungkil semasa temuduga.
  3. Kerja sosial yang dapat membuktikan saudara mempunyai rekod yang baik dalam melaksanakan tugas. Sebagai contoh, membantu golongan OKU atau golongan yang bekeperluan bagi membuktikan yang saudara sanggup berkorban masa dan tenaga walaupun tidak dibayar.

Mungkin perkara yang disebutkan adalah sebahagian daripada aspek lain yang ditonjolkan. Namun, inilah masanya saudara perlu menyusun dengan baik segala pengalaman yang ada dalam masa yang terhad bagi penemuduga dapat mencungkil bakat-bakat yang ada pada saudara. Jangan pula terlalu banyak mengangkat diri, bimbang nanti masuk bakul angkat sendiri.


Bersambung....


Temuduga Perguruan : Perkara kecil berimpak besar- bah 2
Ditulis oleh: Fadzli, 16 December 2009 , Komen : 0

Apabila memberikan penjelasan mengenai pendidikan, diharapkan tip-tip di bawah dapat membantu saudara dalam merangka jawapan yang berstruktur dan teratur ketika menjawab soalan dari penemuduga:

Cuba bahagikan pendidikan kepada;

  1. Pendidikan Awal
  2. Pendidikan Menengah
  3. Pendidikan Tertiari


Pendidikan Awal dan menengah memerlukan calon menjawab sekolah rendah dan menengah. Tidak perlu mendalam sehingga menghuraikan tadika sama sekali. Ada pendapat di kalangan penemuduga, keperluan menanyakan soalan ini adalah untuk mengetahui latar belakang dan asal calon berkenaan.


Bagi pendidikan tertiari, saudara perlu huraikan berkenaan pendidikan di peringkat matrikulasi atau universiti. Jika mempunyai masa, sebutkan juga kelulusan yang tertera pada transkrip supaya memberikan kepekaan berkenaan kelulusan saudara kepada penemuduga.

Bagi persoalan mengenai pendidikan, kecenderungan penemuduga mahu melihat calon guru benar-benar tahu tujuan dan bidang yang dipelajari semasa menuntut di universiti dahulu. Elakkan daripada meremehkan hal sebegini kerana kebanyakan kesilapan juga berlaku pada peringkat penerangan mengenai pendidikan saudara seperti:

  • menyatakan CGPA tidak seperti dalam Transkrip
  • Apabila disoal balas oleh penemuduga, berkenaan apa yang dipelajari serta subjek-subjek tertentu seperti dalam transkrip. Calon hanya menjawab tidak ingat serta seumpamanya menyebabkan calon dianggap tidak peka dengan bidang yang dipelajari serta menggambarkan kelalaian serta sikap ambil mudah calon mengenai masa depan sendiri.

Bersambung...

 


Temuduga Perguruan : Perkara kecil berimpak besar
Ditulis oleh: Fadzli, 12 December 2009 , Komen : 0

Apa khabar semua bakal pendidik? Diharapkan kepada saudara yang mahu menyertai kerjaya sebagai guru mungkin saudara semua bakal berhadapan dengan temuduga dan ujian yang diadakan. Tidak kiralah sama ada GSTT atau GST. Seperti mana temuduga biasa yang lain penilaian penemuduga ketika memilih calon guru adalah berasaskan kriteria berikut

1) Penampilan & Personaliti

2) Pendidikan

3) Pengalaman kerja & kerja sosial

4) Isu-isu semasa khususnya pendidikan

 

Berdasarkan kajian cikgumalaysia.com melalui maklumbalas penemuduga dan orang yang bertanggungjawab dalam pemilihan bakal guru dan pengesahan jawatan bagi guru sandaran terlatih atau GST adalah:

1) Kekurangan penampilan yang menggambar personaliti diri dan profesion perguruan

    Contohnya:

Bagi lelaki - tidak memakai tali leher, tanda nama, baju kemeja tangan pendek dan bercorak-corak.

Bagi wanita- Memakai tudung dan baju yang kurang keserasian warna, tidak memakai tanda nama, tiada tas tangan yang sesuai dan pakaian yang terlalu             menyilau dan menjolok mata.

Kesalahan Umum: Tidak senyum ketika mula masuk ke bilik penemuduga, sijil tidak lengkap khususnya salinan yang disahkan, gambar terkini, datang lewat

Jika menghadiri temuduga dalam kerjaya perguruan, diharapkan penuhi segala syarat yang telah ditetapkan serta elakkan dari membuat perkara-perkara yang remeh namun memberikan impak yang besar kepada peluang saudara menyertai kerjaya guru. Ketepatan dan kejituan dalam memilih pakaian juga diambil kira serta tidak dipandang remeh oleh penemuduga. Memang ada sesetengah berkata ia hanya sebahagian kecil daripada kehendak temuduga namun perkara inilah yang diulangi kesalahannya disebabkan sikap ambil mudah daripada calon guru.

Perlu difahami yang saudara sudah terpilih untuk temuduga namun menunggu selangkah lagi bagi meyakinkan penemuduga. Penemuduga adalah orang yang terlatih, mereka mudah mengesan salah dan silap dengan sekelip mata tanpa kita sedari, jadi elakkan sikap ambil mudah dan pakaian yang dikatakan sebagai asal boleh sahaja.

Bertemu lagi lain masa...bagi tip-tip seterusnya


PERMATA PINTAR: Dari mana mahu ke mana?
Ditulis oleh: Fadzli, 07 December 2009 , Komen : 0

Apabila program Permata Pintar dilaksanakan dengan mempunyai sekolah sendiri bermula 2011 ini, bermakna ia menjadi sejarah buat negara dalam menguruskan sumber manusia yang pintar kognitif dan mempunyai kekuatan otak yang luar biasa. Justeru, kehadiran 'kampus kecil' yang dibuat dalam UKM dikatakan menjadi inspirasi buat murid dan pelajar pintar ini mendalami ilmu dengan suasana penyelidikan.

Program ini diwujudkan dengan harapan dapat menguruskan pelajar pintar yang dapat menyumbangkan kepada perkembangan saintifik dan kemajuan negara. Berkemungkinan besar tenaga pengajar yang mengajar di sini juga adalah di kalangan pintar-pintar belaka kelak. Prinsip "the best breed the best" terpakai demi melihat semua kanak-kanak ini diuruskan perkembangan mereka supaya tidak lagi kehebatan IQ serta keupayaan mereka tercicir begitu sahaja. Kita semua sedih melihat contoh Sufiah yang cemerlang ketika kanak-kanak  namun menjadi sebaliknya apabila dewasa. Mungkin inilah menjadi pendorong untuk diwujudkan suatu sistem persekolahan yang menyokong kebolehan dan keupayaan luar biasa kanak-kanak Malaysia supay terurus dengan jayanya kehidupan mereka.

Selepas ini, SBP, SBT dan entah apa lagi konsep sekolah hanya menempatkan orang biasa-biasa sahaja memandangkan ada yang lebih luar biasa akan diwujudkan di Permata Pintar.


Selamat Bercuti
Ditulis oleh: Fadzli, 02 December 2009 , Komen : 0

Web cikgumalaysia.com mengucapkan selamat bercuti kepada semua warga pendidik. Jika ada yang berkursus, semoga berjaya hendaknya mendapat bekalan serta ilmu baharu. Jemput jenguk-jenguk web cikgumalaysia selalu bagi memeriahkan lagi protal perbincangan kita.


Cikgu juga banyak risiko
Ditulis oleh: Fadzli, 19 November 2009 , Komen : 1

Peristiwa Kuala Dipang memberikan kesan mendalam kepada guru yang mengalaminya. Begitulah risiko yang perlu dihadapi oleh seorang guru. Program apa sahaja yang mahu dijalankan semuanya dipertanggungjawabkan kepada guru. Silap langkah guru yang kena. Oleh itu, guru sentiasa memikirkan cara yang terbaik dalam melaksanakan tugasnya. Siapa tahu kesusahan yang dialami oleh guru namun tanggungjawab tetap tanggungjawab.


Masyarakat luar hanya cuba mencari kesalahan khususnya hal prosedur yang kurang diendahkan. Namun, tahukah orang di luar yang kadang-kadang arahan atau apa sahaja program yang dipetanggungjawabkan selalunya last minute. Justeru guru yang bertangggungjawab tidak mempunyai masa yang cukup melainkan melaksanakan arahan dengan secepat mungkin. Memang ada takwim yang disusun namun kadang-kadang semuanya bersifat tentatif serta tidak pasti. Jadi dengan kekalutan dan kesusahan yang dihadapi guru tetap menjalankan tugasnya seperti diarahkan. Memang surat kebenaran waris adalah kepastian yang mengandungi yang pihak sekolah tidak bertanggungjawab terhadap apa hal yang terjadi kepada peserta, seharusnya perkara ini perlu dikaji semula supaya penafian ini tidak berat sebelah sehingga mengundang kemarahan waris.

Mungkin sudah tiba masanya, ada kajian yang perlu dibuat supaya mengurangkan risiko guru disalahkan jika ada perkara atau masalah khususnya di tapak perkhemahan.


Dahulu Klusters, kini Sekolah Berprestasi tinggi pula
Ditulis oleh: Fadzli, 18 November 2009 , Komen : 1

100 sekolah beprestasi tinggi pula diwujudkan menjelang 2012. Banyak sekali konsep sekolah yang mahu diperkenalkan, sehingga sistem pendidikan kita banyak merakamkan sejarah kewujudan tagline sekolah yang banyak seperti Kluster, Wawasan, Bestari, Perkasa, Cemerlang dan sekadar beberapa lagi. Kewujudan konsep sekolah yang banyak menyebabkan orang yang belum tahu merasakan banyak sangat  branding sekolah sehingga mengundang rasa pelik.

Konsep sekolah ini kadang-kadang dilihat kabur kewujudannya walaupun mempunyai perancangan kertas yang sempurna. Soalnya, mana satu yang lebih baik klusterkah, wawasankah, Bestarikah atau sekolah biasa?


Kempen Sekolah Untuk Semua, Berbaloi atau Salak Bukit
Ditulis oleh: Fadzli, 17 November 2009 , Komen : 2

Cadangan sekolah satu aliran sudahpun berbunyi beberapa ketika dahulu dengan kenyatan yang dibuat oleh Dato' Mukhriz. Namun ia berbunyi semula kerana cadangan Tan Sri Prof. Khoo Kay Kim berkenaan pentingnya kewujudan sekolah yang berasaskan satu sistem tanpa ada perbezaan aliran. Kempen satu sekolah ini memang kencang diperkatakan sekarang memandangkan ia menyokong kuat agenda perpaduan.

Jika PIPP menekankan pemerkasaan Sekolah Kebangsaan, adakah ia dapat mencapai tahap yang dikehendaki ketika PIPP yang dilancarkan sejak tahun 2006 dan meniti hari-hari akhir menuju 2010 seperti mana yang terkandung dalam PIPP yang memperuntukkan 2006-2010 sebagai tempoh transformasi yang diinginkan. Sudah pasti jika diteliti banyak lagi perkara yang perlu dilakukan jika mahu melihat SK relevan masa akan datang.

Jika perpaduan menjadi alasan utama mahu menjadikan sistem sekolah untuk semua, adakah ia hanya semata-mata untuk kebaikan politik atau kebaikan perpaduan. Dengan pelbagai masalah yang menghiasi pasca PRU 12 yang lalu, adakah Sistem Sekolah Untuk Semua (SSS) ini hanya untuk kebaikan negara taupun diwujudkan sebagai kebaikan politik. Jika mahu dilaksanakan, mampukah golongan ini menyakinkan semua pihak atau hanya menyalak bukit.

Mahu tahu lebih tentang SSS, KLIK


Guru bukan kerja cari makan
Ditulis oleh: Fadzli, 14 November 2009 , Komen : 0

Menjadi guru bermakna bukan sekadar mencari makan. Walaupun diberi ganjaran dan gaji bulanan, ia lebih dari sekadar karier. Ramai khalayak di luar sana berminat menjadi guru, namun kita fahamkah bagaimana kerja guru. Jika ditanya mengenai tekanan, semua orang boleh bercakap yang guru banyak tekanan, malah ada juga mendakwa guru kerja senang, sebab pergi pagi pulang tengahari.

Itu pandangan masyarakat kebanyakan. Lain halnya jika sesiapa yang menjadi guru. Pernah ada ketika saya sempat berbual dengan seorang graduan yang berkali-kali memohon untuk menjadi guru tidak kira DPLI dan KPLI. Beliau berbicara dengan nada kecewa kerana setiap kali mohon, tidak sampai ke peringkat temuduga. lalu saya sempat menasihati beliau supaya bersabar kerana mungkin ada cubaan yang membawa rezeki yang mahu dilorongkan tuhan kepada beliau. Dengan bernada sinis, beliau masih tidak puas hati kerana jawapan saya cuma menenangkan atau hanya sekadar klise biasa ( ungkapan biasa).

Kemudian saya berkata, jadi cikgu mungkin tuhan sedang uji beliau sabar atau tidak sebelum masuk menjadi guru. Sebab, sabar adalah ranking teratas jika mahu menjadi guru yang baik supaya tidak menjadi guru yang hanya cari makan.


Dasar terbuka dan suka mendengar
Ditulis oleh: Fadzli, 12 November 2009 , Komen : 0

 

phpThumb_generated_thumbnailjpg_2_t.jpg

Tanya sahaja pemimpin pendidikan khususnya pentadbir, kata mereka suka kepada dasar yang terbuka dan suka mendengar. Bercakap memang senang daripada bertindak, memang menjadi ungkapan biasa jika kita selalu dengar "kami mengamalkan dasar yang terbuka dan suka mendengar dengan kritikan dan cadangan orang bawahan."

Sungguh pun begitu, adakah benar bagai di kata. Selalunya mendengar dalam erti kata riak wajah atau bahasa badan semata- mata namun tiada perkenan dengan tindakan. Teman guru saya pernah berkata, dalam pengurusan pendidikan perkara mudah menjadi susah oleh kerana ada dua peraturan yang selalu diamalkan oleh pentadbir ;

  1. Bos selalu betul
  2. Jika bos salah, rujuk peraturan satu

Banyak mana cadangan subordinat atau orang bawahan, walaupun baik kekadang tidak akan dihiraukan jika tiada kuasa pengaruhi seorang bos. Sehebat mana sahaja hujah jika semua dikata tidak berkenan di hati bos semuanya tidak menjadi. Mempengaruhi dan membodek perkara yang berbeza. Mempengaruhi punyai cara yang cerdik tapi berhemah tetapi membodek mempunyai cara berhelah yang penuh perasaan bermuka-muka.

Tidak semua pentadbir begitu, tetapi adakah kita semua faham akan dasar terbuka dan mahu mendengar. Punya banyak kursus dan latihan kepemimpinan, ia tidak memadai memahamkan kedua-dua konsep ini. Dasar yang terbuka dengan kritikan dan mendengar perlu dilatih dan bukan sekadar didengar


DG2941 masih lagi dianiaya
Ditulis oleh: Fadzli, 11 November 2009 , Komen : 0

Golongan pendidik yang menikmati kenaikan gred 41 yang asalnya 29 masih lagi ada yang teraniaya setelah ketinggalan kenaikan gaji selaras dengan pengalaman mereka. Golongan ini yang khususnya menyambung pelajaran bagi melengkapkan ijazah masih lagi tertinggal berhubung soal gaji yang menghantui golongan ini. Jika ada yang mahukan berita terkini mengenai hal ini atau mahu memperjuangkan nasib rakan-rakan kita, mari kita berikan pendapat dan hujah dengan melayari web pendidik.my


Pendekatan Konstruktivis: Genre baharu dalam dunia P & P
Ditulis oleh: Fadzli, 10 November 2009 , Komen : 0

Kiranya, sahabat-sahabat bakal guru mahu bertanya mengenai tips-tips peperiksaan, temuduga atau perkara yang berkaitan hal P & P. Pendekatan kontsruktivis perlu diketahui dan difahami dengan sesungguhnya. Genre baharu ini menerbitkan pelbagai kaedah, teknik, pendekatan dan strategi yang dianggap sebagai yang berkesan saat ini.

Semua pendidik maklum mengenai hal pengajaran konstruktivis ini memandangkan ada yang mengamalkan dengan langsung atau tidak langsung. Konstruktivis adalah pendekatan yang berpusatkan pelajar dan bukannya guru. Jadi, segala aktiviti dan perkara yang dirancang dalam P & P perlu memikirkan kesannya kepada perkembangan koginitif, sosial dan kandungan sesuatu subjek terhadap pelajar. Senang cerita, pendekatan konsruktivis adalah pendekatan yang menganggap segala ilmu atau pengetahuan seorang pelajar sudah lama terbina dalam mindanya, jadi hanya pengukuhan sahaja diperlukan dengan memberikan mereka sedikit ruang membuat eksplorasi pengetahuan berkenaan sehingga mereka membina pengetahuan itu satu persatu sehingga faham serta dapat menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh, mengajar geografi khususnya mengenai pembacaan peta atau bearing. Jika mahu memberikan contoh biarlah ia berkisar contoh setempat di mana pelajar itu berada berbanding memberikan contoh peta New York yang mereka sendiri kurang arif mengenai tempat itu. Mungkin itu sekelumit contoh, ramai lagi rakan-rakan guru yang pasti banyak idea berkenaan konstruktivis ini.


Konstruktivis tidak senang dengan cara buka buku dan hafal semata-mata. Tetapi mementingkan kefahaman yang dibina melalui cara belajar yang unik bagi setiap orang pelajar.


Biar kita pertahankan profesionalisme kita
Ditulis oleh: Fadzli, 09 November 2009 , Komen : 0

Jika ada masalah, pendidikan menjadi tudingan pertama masyarakat mengenai kualiti insan yang lahir. Justeru, pendidik yang menjalankan tugas selalunya senang untuk dibelasah dari segenap penjuru. Kita sebagai guru kadang-kadang sudah lali dengan sikap segelintir masyarakat yang menganggap guru sahajalah yang bertanggungjawab mengenai apa sahaja yang berlaku ke atas anak didik mereka.

Memang dari suatu segi ada benarnya, namun jika segelintir masyarakat ini hanya tahu menyalahkan guru jika apa-apa berlaku itu yang menjadi masalah. Dengan bebanan guru yang ada, ia hanya dikatakan sebagai tugas namun tidak melihat realiti serta suasana bebanan yang ditanggung oleh guru. Sebagai pendidik, kita pernah mengalami pelbagai masalah dengan pihak keluarga yang kadang-kadang datang tanpa ada siasatan dan adab kemudian datang sekolah kemudian marah-marah.

Bagi mereka, mereka rasa mereka betul sehingga apa sahaja percakapan dan alasan kita hanya mahu mengelakkan diri. Sebenarnya mungkin sesetengah kes kita mahu mengelakkan diri, namun sebagai pendidik ramai yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Begitupun, masyarakat masih kurang nampak komitmen dan kesungguhan guru yang tinggi.


Jangan main-main dengan temuduga SPP
Ditulis oleh: Fadzli, 02 November 2009 , Komen : 1

Bagi yang sudah, akan dan mahu menjadi guru. Penting untuk kalian semua faham yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan atau SPP memang tegas dengan pengendalian temuduga mereka. Bagi yang mahu dilantik setelah berkhidmat serta mahu disahkan jawatan semua guru perlu melalui temuduga ini. Temuduga ini memang tegas jika tidak kena syarat, sila pulang tanpa ragu.

Ada kes guru yang ditemuduga tidak membawa dokumen serta memberi alasan tertinggal atau terlupa, mereka dipersilakan untuk balik dengan hormatnya. Jika ada yang kata temuduga SPP sebagai syarat, itu adalah salah sama sekali. Pelbagai syarat perlu dipenuhi kerana ada pegawai yang meneliti dari hujung rambut hingga kaki melihat pemakaian, personaliti dan dokumen sebelum masuk ditemuduga. Jika tidak lepas, kita tidak dibenarkan untuk masuk ditemuduga maka tunggu lagi enam bulan baharu boleh ditemuduga.

Jika tidak percaya, sila tanya guru-guru yang sudah pun ditemuduga...


Hak GSTT
Ditulis oleh: Fadzli, 01 November 2009 , Komen : 13

Jika diamati GSTT dilantik sebagai perjawatan kontrak. Jika guru ganti ia bukan GSTT. Guru Sandaran Tidak Terlatih mempunyai surat tawaran rasmi daripada JPN yang juga mengkehendaki tuan-tuan perlu menjalani proses medical check-up dan prosedur memasuki perjawatan kerajaan yang lain. Jadi, jika sudah menjadi GSTT tuan-tuan semua adalah kakitangan awam namun mempunyai kontrak. Jadi segala tindak-tanduk perlu berlunaskan undang-undang kakitangan awam.

Namun kelebihan seperti pinjaman atau lain-lain tidak dapat dinikmati seperti kakitangan awam kecuali elaun yang selayaknya dengan kelulusan saudara apabila berkhidmat sebagai GSTT. Untuk diserapkan ke perkhidmatan tetap, itu tidak dijamin. Namun kontrak dapat disambung berdasarkan keperluan.


November Bulan Peperiksaan Bakal Pendidik
Ditulis oleh: Fadzli, 30 October 2009 , Komen : 5

Hampir kesemua guru-guru pelatih di seluruh IPGM pelusuk negara sedang demam menghadapi peperiksaan. Dengan berbaki satu dan dua minggu, semua guru pelatih berdepan suasana stress dan tertekan memandangkan peperiksaan akhir yang bakal menentukan nasib bakal-bakal guru ini. Terutamanya PPISMP, PISMP dan KPLI yang masing-masing memburu soalan spot dan macam-macam kerenah lagi.

Ada yang kata perlu rebus buku dan pelbagai perkara lucu yang lain. Namun hakikat keresahan empunya badan masing-masing tiada siapa yang tahu. Justeru web ini mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan semoga berjaya menjawab dengan baik. Jika mahu bertanya mengenai soalan spot, tinggalkan jejak anda dalam emel atau forum kami, dengan harapan ada yang sudi membantu.


Mahu jadi guru
Ditulis oleh: Fadzli, 30 October 2009 , Komen : 1

Jika mahu atau berminat menjadi guru, kita bukan sahaja perlu bersedia untuk mengajar. Bahkah kita perlu bersedia bekerja secara multi tasking. Berkawad, berenang, berkayak atau apa sahaja orang lain boleh buat, kita semua kena pandai buat. Itu perkara biasa, jika di dalam temuduga, kita semua mengaku boleh buat itu dan ini. Masuk IPGM atau Fakulti Pendidikan perlu buktikan yang kita kota apa yang di kata.

Menjadi guru perlu bersedia untuk bekerja secara sistematik, perlu peka dengan arahan pihak atasan dan mempunyai inisiatif sendiri. Kerja lain pun begitu, namun perlu faham kerana guru di Malaysia tiada pembantu mahupun kerani yang menolong kita. Jika ada pun, itu cuma ehsan kerani pejabat sebab mereka bukan kerani cikgu. Oleh sebab itu, jika mahu membuat tuntutan perjalanan perlu simpan dan lekatkan semua resit-resit, sebab bila sampai ke meja kerani jika tidak lengkap, tiada siapa yang peduli semua resit-resit masuk tong sampah.

Dalam perguruan, banyak perkara datang secara last minute. Orang beritahu, baharu surat sampai. Lebih tragis lagi, masuk sahaja sekolah tiba-tiba sampai surat untuk mesyuarat bentang itu dan ini padahal data satu pun kita tiada. Jangan main-main dengan hal begini, ada juga guru siap beg belakang boot kereta, sebagai persediaan jika ada short notice kursus atau perkara lain.

Melainkan jika ada di antara guru yang mempunyai suami atau isteri yang diistilahkan sebagai somebody  dalam kementerian, kebarangkalian untuk tidak menghiraukan arahan mungkin tinggi. Ini semua bukan perkara negatif, tetapi jika kita semua mahu menjadi guru. Jika ditanya pada guru yang mempunyai pelbagai personaliti sama ada positif atau negatif, jawapan kepuasan dalam mendidik adalah melihat anak murid kita berjaya...itu yang sebenarnya. Bagaimana ada berani untuk mahu jadi cikgu.


Sekolah tempat lambak program
Ditulis oleh: Fadzli, 29 October 2009 , Komen : 0

Seringkali jika ada perdebatan mengenai isu sosial mahupun isu apa sahaja. Generasi muda perlu dipupuk dengan nilai-nilai murni dan positif supaya modal insan yang efektif dapat dibentuk. Jadi, mudah sekali mana-mana pihak terutama orang politik seringkali cakap "Kita perlulah mendidik generasi muda dengan itu dan ini....bla..bla..bla..jadi hendaklah kita mulakan sebarang program sejak bangku sekolah...bla...bla..bla serta diharapkan kementerian dapat berbuat sesuatu...bla..bla.. guru juga perlu menyemai sikap....bla..bla..bla oleh itu dicadangkan kelab itu dan ini dilancarkan di sekolah."

Begitulah klise yang terjadi oleh mulut orang politik, tidak semena-mena sekolah tempat lambak kelab itu dan ini, program itu dan ini, persatuan itu dan ini sehingga sampai ke satu tahap yang mana satu pihak sekolah terutama guru perlu pentingkan. KPI sekarang menuntut guru-guru lebih kompeten dalam penyampaian P & P yang menghasilkan peljar banyak A berbanding pelajar yang kenal potensi diri. Jadi senang dikatakan, kewujudan sebarang kelab yang entah apa-apa tidak memberikan impak yang positif jika diikut dengan cakap-cakap politik. Kelab pelancongan, kelab jenayah dan sebagainya susah untuk ditentukan mana yang lebih utama.

Adalah baik hadkan atau kaji semula mana yang baik dan cukup bermanfaat untuk murid dan pelajar. Jika tidak belajar tidak kemana, kelab terbarai tidak yang menghidupkannya.


Makluman Adab Memberikan Pandangan & Pendapat
Ditulis oleh: Fadzli, 27 October 2009 , Komen : 0

Tuan-puan yang dihormati,

Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih atas respons semua pengunjung yang sudi memberikan pendapat mahu pun komen. Semoga dengan kehadiran komen saudara semua membuatkan web ini mendapat sambutan lebih menggalakkan. Tujuan kami mewujudkan web ini adalah sebagai saluran kesedaran korporat  PTS menghargai jasa-jasa pendidik serta mengengahkan pendapat pendidik serta orang ramai mengenai pendidikan.

Namun sejak akhir-akhir ini terdapat komen yang tidak dapat kami lepaskan kerana ia berbaur hasutan, menghina atau seumpama dengan ia. Setelah mendapat nasihat perundangan serta adab dalam memberikan pendapat daripada pakar dari pihak PTS sendiri, adalah lebih baik semua komen yang tiada asas fakta kukuh serta tidak profesional tidak akan kami layan dan siarkan.

Jika ada yang tidak setuju mahupun bersetuju dengan apa yang dilontarkan dalam web ini, sila sampaikan dengan cara yang beradab dan sopan walaupun tidak dapat bersua muka. Tiada gunanya perkataan yang tiada manfaat hanya kerana membalas komen orang lain bagi entri tertentu. Web ini adalah untuk para pendidik atau bakal pendidik yang tinggi akal budi demi kemajuan bangsa. Bukan tempat salah-menyalahkan orang atau lebih buruk lagi perkataan maki-hamun.

Sesuai dengan dasar PTS, kami menganjurkan sebarang perkataan atau penulisan komen perlu dalam Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dengan tidak memasukkan sebarang slanga, jargon, singkatan sms atau yang tidak melambangkan reputasi Bahasa Melayu sebenar ke web ini. Justeru kami amat berharap, biar apa sahaja pandangan tuan-puan kami hargai tetapi perlulah mematuhi adab dan peraturan negara. Diharapkan juga semua yang dinyatakan bukan sebagai peraturan namun panduan buat kita semua bagi mengangkat martabat bahasa Melayu supaya ia terpelihara sebagai bahasa ilmu dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Terima kasih atas sambutan tuan-puan, semoga kita dapat bertukar idea demi kebaikan pendidikan negara. Guru adalah arkitek bangsa.


Pengambilan KPLI untuk Januari 2010 tidak diiklankan
Ditulis oleh: Fadzli, 27 October 2009 , Komen : 3

Kementerian tidak membuat sebarang iklan bagi pengambilan KPLI ambilan Januari 2010. Bagi yang berminat serta menunggu sebarang iklan untuk memasuki bidang perguruan melalui saluran KPLI tidak dapat berbuat demikian. Kementerian mempunyai calon simpanan yang diperlukan untuk ambilan Januari 2010 berdasarkan simpanan nama yang memohon semasa pengambilan KPLI Jun 2009.

Bagi mengetahui maklumat lanjut sila layari laman KPM


Pengumuman: Kami mengalu-alukan pertukaran pautan serta maklumat
Ditulis oleh: Fadzli, 27 October 2009 , Komen : 0

Bagi merancakkan dunia siber para pendidik dan pendidikan negara, cikgumalaysia.com mengalu-alukan sebarang pertukaran pautan dengan khalayak pengunjung yang mempunyai blog peribadi atau sekolah. Begitu juga buat pendidik yang mempunyai pendapat yang mahu diberikan. Caranya mudah dengan emelkan sahaja segala butiran ke cikgumalaysia@pts.com.my

Pertukaran maklumat seperti program, seminar, pertandingan juga kami alukan-alukan demi merancakkan hebahan aktiviti pendidikan. TIada sebarang caj atau yuran laluan dikenakan hanya perkongsian strategik alam siber.


PPSMI: Ada yang mahu pertahan lagi
Ditulis oleh: Fadzli, 26 October 2009 , Komen : 0

Gelagat segelintir pihak yang masih kemaruk dengan dasar PPSMI masih lagi bernada untuk mempertahankan dasar ini. Walaupun sudah ditentukan oleh pak menteri supaya tiada lagi layanan diberikan untuk sebarang cubaan mengembalikan PPSMI. Kali ini, mereka cuba bermain selamat dengan mahukan SK diberi pilihan untuk sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Bagi kebanyakan pendidik, apa yang sudah ditentukan oleh pihak kementerian sudah muktamad. Adalah baik bagi pihak-pihak berkenaan tidak lagi mempertikaikan atau cuba menegakkan benang basah.

Mereka ini juga mendakwa membuat bancian di kalangan ibu bapa di sekitar lembah Kelang ( KL & Selangor) yang melibatkan tujuh buah sekolah yang rata-ratanya berada di kawasan elit. Dakwa mereka manfaat yang diperolehi anak-anak mereka dari PPSMI adalah punca utama mereka mahu SK diberi pilihan. Sengaja tidak tahu atau buat-buat tidak tahu yang berkali-kali kementerian bertegas keputusan yang dibuat adalah jelas serta mahukan mana-mana pihak tidak mempertikaikan lagi.

Kesal juga kerana golongan ini masih beranggapan BI adalah bahasa yang dapat menjadikan anak-anak mereka hebat walaupun mereka juga bukan orang putih. Semua orang sudah bercakap yang BI perlu diperkasakan namun bukankah kementerian sudah terang panjang lebar mengenai agenda pemerkasaan BI. Sudahlah wahai tuan dan puan, dasar yang ditentukan sudah jelas. Bila lagi mereka ini mahu faham yang keputusan mengembalikan BM juga ada kaitannya dengan agenda perpaduan serta memartabatkan BM sebagai bahasa ilmu. Jika diberi bukti yang negara maju seperti Jepun juga masih mengekalkan bahasa mereka dalam teknologi mungkin tidak dapat meyakinkan mereka. Sebab itu, mereka berusaha keras menegakkan benang basah walau bancian yang dibuat hanya terhad di kawasan elit dan sampel sebesar tujuh buah sekolah. Layakkah atau kukuh data bancian dengan sampel sebesar tujuh buah sekolah. Bagi pendidik, jika buat master dengan kekuatan sampel sebesar itu, tiada maknanya kutipan data itu, buat menghabiskan beras sahaja.


Bai’ah Baru cabaran kepada guru besar dan pengetua
Ditulis oleh: Fadzli, 24 October 2009 , Komen : 0

Secara amnya, bagi Belanjawan 2010 meletakkan harapan penting kepada kepemimpinan sekolah yang terdiri dari pengetua dan guru besar. Soal kecemerlangan disandarkan kepada mereka mahupun arah tuju sekolah. Jadi pengiktirafan berasaskan prestasi kepemimpinan diambil perhatian oleh kerajaan bagi belanjawan kali ini. Jika dahulu pengiktirafan kepada guru besar dan pengetua hanya menyentuh soal pangkat, gred dan tangga gaji namun kali ini kerajaan melihat ada keperluan kesemua guru besar dan pengetua dinilai secara holistik berdasarkan prestasi yang ditunjukkan. Baiáh Baru atau New Deals menjadi cabaran buat pengetua dan guru besar bagi mempersiapkan diri bagi benar-benar kompeten dalam menguruskan sekolah kerajaan.


Jika dilihat daripada idealisme dan kehendak belanjawan ia dilihat membantu menjadi pemacu kepada pengurusan sekolah lebih berdaya saing. Ia adalah kerana dengan Baiáh Baru ini, pengetua dan guru besar dinilai secara komprehensif dalam membentuk sekolah kerajaan yang cemerlang dalam erti kata sebenarnya. Walaupun sebelum ini guru besar dan pengetua dinilai dengan prestasi secara semasa, sistem Baiáh baru ini tidak boleh dipandang enteng kerana kesemua mereka dinilai dengan bersungguh supaya mencapai KPI yang ditentukan.

Jadi, tiada lagi hanky-panky atau sikap lebih kurang dalam kepemimpinan sekolah kerana kepemimpinan menjadi faktor penting dalam menentukan sekolah ditadbir urus dengan profesional. Selepas menunjukkan kesungguhan dan keupayaan yang hebat, baru guru besar dan pengetua diberikan ganjaran autonomi  serta ganjaran kewangan dan bukan kewangan. Jika ini direalisasikan, ia menjadi cabaran besar disebabkan guru besar dan pengetua perlu membuktikan keberkesanan kepemimpinan mereka. Jika tidak, selepas dua tahun mereka tidak membuktikan kecemerlangan kepemimpinan maka ada habuan lain pula dari pihak kerajaan.

Jika KPI benar diperjuangkan dalam belanjawan kali ini, diharapkan tiada lagi kepemimpinan sekolah yang tidur....

Tahun Satu awal laksana Sains & Matematik dalam BM
Ditulis oleh: Fadzli, 22 October 2009 , Komen : 1

Seperti mana yang diumumkan kementerian, langkah untuk diawalkan bagi Tahun Satu mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu pada 2011 memberikan gambaran yang jelas bahawa mekanisme soft landing yang mahu diimplementasi sebelum ini mungkin dilihat kurang sesuai. Adalah lebih baik kesemua peringkat murid dan pelajar sudah memulakan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.

Mungkin persediaan seperti buku dan semua agenda bekalan bahan pengajaran dapat dipercepatkan jika ini adalah alasan utama yang mahukan dasar BM sepenuhnya 2012. Namun diharapkan ketegasan pak menteri yang menafikan sebarang cubaan mengembalikan PPSMI konsisten buat selamanya. Manakan tidak, ada segelintir golongan masih merasakan bahawa relevansi mengajar BI bagi Sains dan Matematik menebal.

Bagi golongan ini, terimalah hakikat yang kementerian ada cara yang lebih baik merangka agenda bagi memperkukuhkan BI dengan acuan pendidikan kita sendiri. Jangan fikir dalam kotak, fikirlah luar kotak. Jika benar PPSMI bagus, tidak perlu ada yang bersusah-payah rendahkan graf kelulusan bagi mata pelajaran sains dan matematik ketika PPSMI. Cikgu juga pening untuk buat loceng pada graf bagi lebih signifikan...


P&P bermula efisien pada hari pertama sekolah
Ditulis oleh: Fadzli, 19 October 2009 , Komen : 0

Kesinambungan tahap efisien awal tahun ini akan diulangi pada tahun persekolahan 2010. Kebanyakan usaha dan mesyuarat serta penyelarasan kerja sudah diarahkan oleh kementerian kepada sekolah. Kebanyakan tugas-tugas pra musim persekolahan perlu disudahkan sebelum hari pertama persekolahan. Situasi ini mahu menjamin pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan sepenuhnya hari pertama persekolahan.

Tiada lagi kelam-kabut dan rungutan ibu bapa mengenai tahap efisien yang dilaksanakan oleh pihak sekolah kerana semuanya selesai sebelum sekolah buka lagi. Tinggal hanya penumpuan kepada hari persekolahan. Diharapkan guru pula tidak terbeban dengan mesyuarat pra musim persekolahan kerana kebanyakan mesyaurat mungkin diadakan kerap semasa cuti panjang.


Perbezaan GSTT dan Guru Ganti
Ditulis oleh: Fadzli, 16 October 2009 , Komen : 10

Terima kasih kepada pengunjung web yang memberikan cadangan perbezaan kepada istilah GSTT dan guru ganti. Terima kasih juga atas keprihatinan warga pendidik yang memberikan saranan yang kedua-dua istilah ini berbeza mengikut keperluan dalam perkhidmatan guru. GSTT atau Guru Sandaran Tidak Terlatih adalah guru yang diberikan kontrak mengikut kehendak PPD dan Jabatan negeri masing-masing yang diambil bagi menampung keperluan guru bagi jangkamasa yang ditetapkan. Biasanya kontrak ini dapat disambung berdasarkan keperluan dan prestasi.

Bagi guru ganti, biasanya ia diambil oleh pihak sekolah dengan menggantikan sementara guru kekal yang ada di sekolah. Kebiasaannya, pihak sekolah menanggung perbelanjaan pembayaran gaji atau elaun. Ada juga PIBG yang mengeluarkan peruntukan bagi membantu pihak sekolah membiayai gaji atau elaun yang diberi kepada guru ganti.


Naik pangkat dengan cara apa….
Ditulis oleh: Fadzli, 15 October 2009 , Komen : 0

Tahniah kepada ramai rakan-rakan pendidik yang sudah pasti mendapat surat pengesahan kenaikan pangkat. Maklumlah suku akhir tahun biasanya banyak berita gembira yang sampai kepada semua pendidik iaitu naik pangkat. Ada yang naik dari 41 ke 44,48,52,54 dan bertambah lagi yang mendapat JUSA C. Tahniah diucapkan. Kepada guru yang baharu memangku jawatan, didoakan saudara semua berjaya disahkan mendapat gred yang diidam-idamkan tidak lama lagi.

Ramai juga di kalangan pendidik bertanya mengenai soalan PTK yang perlu dijawab bagi membolehkan kelulusan pasti peperiksaan ajaib ini. Mana tidaknya, kekadang disebabkan hanya dapat satu yang lepas dan kemudian satu lagi sangkut ia menafikan hak guru untuk naik pangkat. Ramai juga yang kata lebih baik tidak perlu ulangkaji keras kerana soalan PTK amat berhantu lebih lagi kepada warga pendidik.


Igauan PTK menjadi satu hal, satu hala lagi bagaimana kita cara dan pendekatan kita naik pangkat. Memang berkelayakan adalah bagus namun jika tindas orang bawah, itu memang tidak bagus. Sesetengah bos yang mahu naik pangkat dengan suka mengadakan acara-acara yang menyusahkan dan mebuang masa orang bawah khususnya guru. Panggil orang-orang besar hadir demi menunjukkan bahawa semua usaha, bos kita yang buat. Begitulah selalu terjadi, orang lain yang buat, orang lain yang dapat nama.

Buku coffee table program angkasawan dicadang untuk sekolah dan institusi pendidikan
Ditulis oleh: Fadzli, 14 October 2009 , Komen : 1

Apa sahaja mesti sampai ke sekolah dahulu. Buku coffe table  program angkasawan negara mahu diletak di sekolah. Mudahnya, sekolah perlu beli. Walaupun di peringkat cadangan namun berkemungkinan besar sekolah perlu dan wajib beli. Ada pro dan kontranya mengenai hal ini. Jika mahu dilihat untung, siapa yang dapat. Jika mahu manfaat, siapa pula yang dapat.

Bukankah, semua maklumat mengenai angkasawan negara juga dapat dibukukan dengan buku yang lebih murah dan mesra pembaca khususnya pelajar sekolah. Jika buku coffee table, sudahlah tebal, berwarna dan mahal harganya. Mungkin sekolah menjadi tempat atau lubuk membuat duit? Baca lagi


KPLI ambilan Januari 2009 berkemungkinan posting awal
Ditulis oleh: Fadzli, 13 October 2009 , Komen : 2

Desas-desus mengatakan yang semua bakal graduan KPLI ambilan Januari akan dipostingkan lebih awal yang berkemungkinan pertengahan Disember 2009. Berbanding tahun sebelumnya yang keputusan posting diketahui penghujung Disember. Berasaskan kepada keperluan guru yang perlu sampai ke sekolah sebelum sesi sekolah bermula bagi memudahkan pengurusan portfolio dan tugasan yang perlu dilakukan bagi menghadapi sesi baharu persekolahan tahun 2010.


Makanan apa yang dijual di kantin sekolah kita?
Ditulis oleh: Fadzli, 12 October 2009 , Komen : 1

Web ini ingin mengajak semua pendidik memberikan respons berkenaan hal ini. Dalam keadaan sekarang, walaupun hanya makanan bagi mengurangkan beban lapar. Adakah kita semua berfikir yang kebanyakan makanan yang disediakan di kantin adalah tidak sesuai serta memenuhi gizi seimbang yang sepatutnya semua murid dan pelajar terima.


Ada segelintir kantin sekolah yang menjual makanan seperti nuget goreng, nasi lemak, burger dan pelbagai makanan rapu yang tidak memberikan zat melainkan menambah bilangan pelajar yang obesiti. Perkara ini semacam tiada pemantauan khusus berkenaan makanan yang boleh dijual ataupun tidak. Walau ada garis panduan sekalipun, adakah pihak pengusaha kantin mahu ikut. Mereka orang berniaga yang hanya tahu menjual makanan yang dapat memberikan pulangan yang menguntungkan buat mereka.

Selain itu, kementerian kesihatan mempunyai inspektor kesihatan yang sering memantau kebersihan penyediaan makanan tidak lebih sekadar memantau keadaan dan persekitaran kantin sekolah berbanding memberikan nasihat makanan yang sepatutnya dijual di kantin. Jadi apa pendapat pendidik semua yang mempunyai pengalaman mengenai penjualan makanan di kantin sekolah adakah benar-benar mengikut garis panduan atau untung semata-mata.

Pengumuman :Konvensyen Mutu Kerja KPM
Ditulis oleh: Fadzli, 09 October 2009 , Komen : 0

KMKpage_t.JPG

Kementerian akan mengadakan Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja atau KMK yang berlangsung seperti maklumat berikut:

Tempat: Hotel Blue Wave, Shah Alam

Tarikh  : 12-15 Oktober 2009

Anjuran : Bahagian Hal Ehwal Korporat, KPM

Maklumat lanjut, sila layari web kementerian


Stress sampai bakar sekolah
Ditulis oleh: Fadzli, 08 October 2009 , Komen : 0

Buat semua pelajar yang menduduki PMR, diharapkan semuanya baik belaka. Jangan ada lagi yang berani membakar sekolah tanda stress yang hilang kawalan. Hari ini termuat di muka depan Berita Harian yang kejadian kebakaran di sebuah sekolah di Johor angkara pelajar yang tidak tahu apa yang dibebalkan. Hingga menjadikan api sebagai rakan untuk memusnahkan bangunan sekolah. Apa hebatkah tindakan sebegini atau mungkin juga pelajar ini mempunyai masalah lain yang terpendam hingga sanggup membakar bangunan sekolah.


Entah apa lagi, rakaman peristiwa yang menyedihkan yang bakal menggemparkan dunia pendidikan Malaysia. Kali ini hendak salahkan gurukah yang tidak tahu ataupun pandai mengajar anak murid. Emosi remaja mahupun pelajar masa kini sukar diduga, dengan menggunakan kecerdikan akal kepada perkara yang tidak berfaedah, mungkin juga mengancam nyawa warga sekolah yang lain. Walaupun ada kes terpencil ugutan bunuh kepada para pendidik suatu ketika dahulu, tidak mustahil kejadian ini menjadi realiti jika tiada usaha peringkat atasan membendung dan mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan pelajar yang makin kompleks.

PMR bermula hari ini
Ditulis oleh: Fadzli, 07 October 2009 , Komen : 0

ucapan peperiksaan.jpgHampir 500 ribu pelajar seluruh negara menduduki peperiksaan PMR 2009. Waluaupun tahun ini banyak cabarannya, diharapkan peljar kita dapat memberikan usaha yang terbaik kali ini. Sebagai pendidik, kita doakan supaya semua pelajar berada dalam keadaan yang baik dan bersedia bagi peperiksaan PMR. Dengan doa dan restu semua pendidik diharapkan pelajar kita dapat memberikan yang terbaik dalam peperiksaan ini. Di samping itu, para pelajar juga perlu mematuhi prosedur kesihatan terutamanya aspek H1N1 supaya mengelakkan penularan series semasa peperiksaan. Kami di web cikgu malaysia, mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan semoga kejayaan mengiringi usaha pelajar semua.


Pecutan akhir sebelum peperiksaan
Ditulis oleh: Fadzli, 05 October 2009 , Komen : 0

Ramai rakan guru kini sibuk menyediakan pelbagai latih tubi dan melaksanakan segala perancangan yang diperlukan bagi mempersiapkan peljar khususnya bagi SPM. Dengan berbaki sebulan sahaja lagi SPM bakal berlangsung, pelbagai persiapan dan pengurusan pelajar yang perlu disiapkan supaya keadaan calon-calon tahun ini selesa bagi menghadapi peperiksaan.


Di kala ini juga, guru-guru banyak memberikan latihan berbanding mengajar memandangkan latihan berasaskan masalah dapat membantu melengkapkan senjata pelajar sebelum masuk ke deaan peperiksaan. Bagi pelajar, ketika ini adalah ruang yang begitu kritikal memandangkan mereka perlu bertungkus-lumus sebelum peperiksaan menjelang. Diharapkan kesihatan tidak diabaikan kerana sehebat man pun usaha saat-saat akhir namun masuk dewan peperiksaan berhingus mahupun demam ia tidak memungkinkan pelajar dapat menjawab dengan selesa.

Pengumuman: Hari ICT 2009 anjuran UPSI
Ditulis oleh: Fadzli, 29 September 2009 , Komen : 0

Sukacitanya semua pendidik dan pelayar web cikgumalaysia.com dijemput ke Hari ICT 2009 yang dianjurkan oleh Universiti Perguruan Sultan Idris. Berikut maklumat yang dapat membantu saudara semua:

Tarikh: 6 dan 7 Oktober 2009
Tempat : Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI

Pelbagai aturcara menarik menanti pengunjung termasuk pertandingan web sekolah dan blog pendidikan. Semua dijemput hadir. Maklumat lanjut layari, Hari ICT 2009


Balik ke sekolah dengan statistik yang mengerikan
Ditulis oleh: Fadzli, 28 September 2009 , Komen : 0

Selamat kembali ke sekolah kami ucapkan kepada semua warga pendidik semua. Bagi negeri yang bercuti Jumaat, semalam sudah bermula sesi persekolahan. Mohon maaf kerana tidak update pengisian di laman ini. Bukan kerana sibuk beraya, keadaan line internet yang kurang memuaskan semenjak bercuti seminggu yang lalu. Di kalangan pendidik, sudah pasti kembali ke sekolah dengan pelbagai agenda pecutan akhir yang perlu diadakan bagi mempersiapkan anak-anak didik sebelum peperiksaan akhir tahun. Malah lebih penting lagi, minggu ini PMR sudah bermula.


Sambil saya menyiapkan soalan untuk dikemaskini sebelum esok pagi perlu diserahkan kepada pihak panitia, merenung statistik menggerunkan kemalangan musim perayaan ini cukup mengerikan. Kematian melebihi 200 nyawa menceritakan keperitan semua pihak menerima hakikat yang kali ini musim perayaan yang berdarah. Nada marah dan kecewa beberapa pemimpin negara termasuk Katua Polis Negara seolah-olah hanya klise biasa tidak disahut oleh kebanyakan rakyat. Kempen yang diadakan beberapa bulan sebelum aidilfitri tidak memberikan apa-apa kesan melainkan lebih banyak jumlah kemalangan yang dicatat bagi Ops sikap 20.

Mana pihak pun pening, rentetan itu berita di kaca tv mendedahkan pelbagai persoalan termasuk menemubual orang ramai mengenai langkah terbaik menangani permasalahan kemalangan yang tinggi ketika perayaan. Ya, pendidikan lagi dijadikan sasaran sebagai tuntas utama bagi menyelesaikan dan mendidik semua rakayat malaysia sejak bangku sekolah lagi. Ramai yang kata, sekolah perlu ajar mengenai keselamatan jalan raya. Sudah ada modul itu di peringkat rendah, ramai cikgu yang ajar namun kekadang ia hanya tinggal sebagai subjek tanpa pengisian yang membangkitkan rasa tanggungjawab untuk membentuk sikap yang prihatin dengan undang-undang mahu pun keselamatan jalan raya.

Salah guru lagi kerana tidak mengajar, tidak sama sekali. Cikgu menyudahkan semua yang perlu bagi mengajar subjek pendidikan keselamatan jalan raya namun terpulang kepada masyarakat bagi menguatkan pemahaman yang kukuh kerana ibu bapa setiap murid dan pelajar tentunya berkereta. Bayangkan ketika mahu ambil anak pun ada yang tidak mematuhi peraturan. Memakir di tepi jalan sehingga menggangu lalu lintas, tambah buruk lagi jika loakasi sekolah berada di tengah bandar, semua ibu bapa tidak mahu mengalah semata-mata mahu port yang baik lagi strategik mengambil anak mereka. Apabila ditegur oleh pihak sekolah, kena lagi pentadbir sekolah bila mesyuarat PIBG sebab tiada tempat yang sesuai bagi ibu bapa mengambil anak mereka.

Selagi mana sikap dan pandangan ibu bapa yang tidak berubah selagi itu juga kempen, subjek atau peperiksaan mengenai keselamatan jalan raya diwajibkan ambil dan lulus di sekolah pun tidak akan merubah apa-apa. Benarlah kata-kata KPN, hukum mati pun tiada guna jika sikap tidak berubah.

Selamat Hari Raya Cikgu-Cikgi
Ditulis oleh: Fadzli, 19 September 2009 , Komen : 0

Web cikgumalaysia.com mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua warga pendidik di seluruh pelusuk negara. Kami juga ingin berpesan kepada semua supaya berhati-hati di jalan raya memandangkan jumlah kenderaan yang berjuta berduyun di segenap penjuru jalan raya serta lebuhraya. Semoga selamat sampai ke destinasi dan bergembira di samping orang yang tersayang.


Cuti diberi, notis terlalu singkat
Ditulis oleh: Fadzli, 18 September 2009 , Komen : 0

Syukur juga Jumaat diumumkan sebagai cuti khas bagi warga pendidik dan organisasi di bawah kementerian. Reaksi bercampur-baur rata-ratanya di kalangan pendidik. Ada yang pelik, ada yang marah dan ada yang memuji. Walau apapun diharapkan raya tahun ini bermakna buat pendidik semua. Begitulah jika semuanya mahu bergantung kepada keputusan orang atas. Selagi tiada pengumuman, selagi itu tiada kepastian.


Ramai cikgu sebelum ini yang ambil cuti, mungkin terbatal dengan sendirinya disebabkan Jumaat digazetkan sebagai cuti khas. Pun begitu, adalah lebih baik jika mahu diberi cuti, mengapa tidak awal-awal lagi umum. Bukan mempertikaikan, cuma pelik. Ada sekolah yang sudah habis pakai semua cuti peristiwa, sebab itu jika mahu cuti, perlu ganti. Pengumuman ini memang melegakan cikgu yang mahu pulang beraya, faham sahajalah dalam satu sekolah mesti ada cikgu dari tempat yang jauh. Perlu masa untuk pulang beraya.

Adalah lebih baik, masa hadapan jika mahu memberi cuti perlu kepada penelitian yang lebih awal.

Raya dan bonus
Ditulis oleh: Fadzli, 14 September 2009 , Komen : 0

Ramai mahu bertanya berkenaan bonus. Cikgu yang juga kakitangan awam terbesar di Malaysia menjadikan bilik guru tidak sunyi dengan perbincangan bonus. Ramai yang hairan selalunya ada, kali ini tiada. Malah ada juga yang kata, kerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Jika ada bersyukurlah, jika tiada pun bersabarlah.


Sempena perayaan, tentunya belanja pun akan lebih. Manalah tahu, jika ada bonus ringanlah sedikit beban guru. Setakat ini belum ada atau tiada langsung terminologi bonus dibincangkan dalam media perdana. Senang cerita, tiada bonus untuk tahun ini. Kegembiraan kakitangan awam khasnya akan terubat jika bonus yang diharapkan setahun sekali dapat diberi. Tetapi belum dengar bunyi untuk kerajaan beri bonus. Apapun sabar sahajalah...

Keputusan pendidikan tidak boleh dipengaruhi politik
Ditulis oleh: Fadzli, 10 September 2009 , Komen : 1

Selalu kita dengar yang keputusan pendidikan perlu datang dari orang atas. Cuma dapat dikatakan pendidikan kita terlalu bergantung kepada keputusan politik. Bermula dengan PPSMI sehingga tambah subjek itu dan ini, semuanya orang politik yang tentukan. Sekiranya diambilkira Falsafah Pendidikan Negara, kita dapat lihat prinsip yang jelas bagi memajukan pendidikan negara.


Namun jika banyak lagi keputusan pendidikan dipengaruhi politik, seumpama kita menidakkan faktor kebijaksanaan golongan pendidik dalam menentukan apa yang terbaik bagi pendidikan negara. Benar sama sekali perguruan dan politik memainkan peranan utama dalam negara kita. Tetapi biarlah segala keputusan dan tindakan yang dibuat tidak hanya melihat kepentingan politik sesuatu pihak sehingga memusnahkan pendidikan negara.

Lama mana lagi kita mahu lihat tikus yang suka baiki labu, labu tidak dibaiki bahkan hancur berkecai...

Pendidikan seks kini mahu ke sekolah
Ditulis oleh: Fadzli, 09 September 2009 , Komen : 2

Walaupun lama sudah isu ini diperbincangkan namun gara-gara tiada sambutan. Ia nampaknya tidak lagi relevan. Isu pendidikan seks yang pernah diutarakan Dato' Shahrizat suatu ketika dahulu kini bergema kembali dengan orang lain yang mencanangkannya. Dato' Shabery pula mahu mencadangkan supaya ia dijadikan ia sebagai subjek yang perlu diajar di sekolah. Ketika membaca utusan beberapa hari lepas, isu ini mahu diperdebatkan semula.


Walaupun ada yang berpendapat sesetengah pelajar tidak tahu-menahu mengenai pendidikan seks, namun adakah ia cukup kukuh menjadi sandaran bagi mengadakan pendidikan seks ini. Adakah korelasi yang jelas diantara ketidakfahaman pelajar mengenai seks dengan mengadakan pendidikan seks  di sekolah.

Jika ada sekalipun, mampukah fakta ini diangkat sebagai justifikasi yang jelas bagi mengadakan subjek pendidikan seks di sekolah. Sambil tidak menafikan fitrah manusia ini, ada baiknya mana-mana pihak perlu mencari jalan yang paling selamat jika tetap mahu mengadakan subjek ini. Takut nanti apa yang di ajar nanti bukan menambahkan ilmu mengenai fitrah manusia namun medan membincangkan nafsu berahi yang mampu menggagalkan objektif utama tujuan pendidikan seks itu sendiri.

Secara umumnya, faktor kerohanian dan aspek etika dalam perlu menjadi teras kepada kewujudan subjek ini. Jika tidak ia hanya menjadi kelas biologi bertajuk pembiakan manusia sehingga ada yang menjadikan kelas itu sindir-menyindir sehingga menaikkan nafsu semata-mata.

Selamat menghadapi peperiksaan UPSR
Ditulis oleh: Fadzli, 05 September 2009 , Komen : 0

Presentation1_t.jpgCalon-calon peperiksaan UPSR akan menghadapi hari penting mereka bermula 8 september ini. Diharapkan dengan keadaan yang tidak menentu, cikgumalaysia.com mendoakan semua calon berada dalam keadaan sihat serta bersedia bagi menghadapi peperiksaan. UPSR kali ini juga dilihat sebagai penentu kepada tanda aras kedua PPSMI, walaupun sudah ditentukan bahawa 2012 menjadi tarikh akhir PPSMI. Segalanya masih boleh berlaku kerana sebaik sahaja keputusan diumumkan jangkaannya Disember ini, berkemungkinan statistik apa pula yang timbul demi mahu melindungi PPSMI.


Kita semua sebagai pendidik yakin, tiada cara yang ampuh jika mahu berjaya dalam pengajaran dan pembelajaran sains kecuali dalam bahasa ibunda. Wahai anak-anak murid sekalian, kamu semua penentu nasib masa depan negara. Cikgu sudah menurunkan apa sahaja apa yang perlu, namun terpulang kepada murid semua bagi berjaya dalam peperiksaan.

 

E-book ke e- porno
Ditulis oleh: Fadzli, 27 August 2009 , Komen : 1

Jika diteliti beberapa laporan akhbar tabloid, teknologi canggih yang dianggap sebagai pembaharuan pembelajaran sudah menjadi senjata makan tuan. Timbulnya isu kemudahan ebook yang diberikan kepada murid darjah lima di Terengganu menggunakan ia sebagai kemudahan untuk akses kepada laman porno. Sebagai pendidik, kita bimbang dengan perkembangan terbaru ini. Betapa kemudahan yang diberikan bukan membangunkan potensi serta memudahkan kerja murid tetapi ada segelintir murid lebih cerdik mencari sesuatu yang baru dengan kaedah inquiry-discovery.


Namun kecerdikan mereka bukan cenderung kepada kebaikan namun lebih buruk daripada biasa. Jika begitu, adakah berkesan jika program ebook ini kepada murid-murid khususnya di Terengganu. Kita semua tahu, Terengganu mempunyai kelebihan kerana selama ini pun ranking dan pentadbiran pendidikan di sana dapat dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.

Terdahulu, program ini sebenarnya mengharapkan ia dapat memupuk minat ict dan membudayakan teknologi di kalangan murid. Selain itu, ebook mampu menangani masalah beg berat terutamanya murid sekolah rendah. Tetapi kini walaupun segelintir murid adakah penanda aras serta objektif dapat dicapai?

Pembantu guru: Antara janji dan realiti
Ditulis oleh: Fadzli, 25 August 2009 , Komen : 0

Mampukah perjawatan pembantu guru dapat direalisasikan. Memandangkan jumlah sekolah yang semakin bertambah, banyak perkara perlu dipertimbangkan mengenai hal ini. Tetapi adalah menjadi kemestian buat kementerian mengadakan perjawatan ini kerana kerja guru yang semakin kompleks. Ada yang terpaksa uruskan tuntutan perjalanan sendiri disebabkan keengganan kerani membantu mereka. Beban tugas guru bukan hanya kepada pengajaran dan pembelajaran malahan pengekeranian juga.


Jika ramai dakwaan orang yang guru suka merungut serta stress ,hal ini memang ada asasnya. Kita sebagai guru tidak merungut jika ada bebanan yang menganggu tugas hakiki mengajar. Kita merungut kerana tugas hakiki gagal disempurnakan kerana banyak lagi kerja-kerja rutin yang lain serta belum lagi sibuk menguruskan aktiviti sekolah. Begitu juga dengan timbunan jemputan menghadiri mesyuarat yang kadang-kadang tidak disengajakan oleh kerana dirinya mewakilkan pentadbir yang juga sibuk.

Kedudukan cadangan pembantu guru dipertimbangkan untuk guru-guru hanya tinggal cadangan memandangkan idea ini sudah pun dicanangkan kepada kementerian september tahun lalu namun tiada khabar berita, serta pertimbangan pun entah di mana. Perjawatan ini perlu diwujudkan dengan serius supaya kualiti dan prestasi guru merudum pada saat pendidikan negara mahu melalui transformasi.

Guru tidak lagi mampu menjadi superman, yang bekerja sehingga hujung minggu. Walaupun tiada lagi aktviti sekolah hujung minggu, siapa tahu guru  yang mempunyai komitmen tinggi menghabiskan masa menyiapkan rekod pelajar, analisis keputusan, head count, minit mesyuarat dan kerja lain yang seharusnya ada pembantu bagi meringankan beban mereka.

Latihan Dalam Perkhimatan perlu serius
Ditulis oleh: Fadzli, 24 August 2009 , Komen : 0




Jika ada yang mahu memperkatakan latihan dalam perkhidmatan (LDP), tentunya di kebanyakan sekolah ia terlalu membosankan. Namun lain halnya jika pihak pentadbiran yang diketuai oleh pengetua dan guru besar yang kreatif dalam merencanakan LDP. Menguruskan latihan memerlukan daya kreativiti yang tinggi supaya latihan yang diadakan mampu memberikan kesan yang besar demi mencapai kejayaan organisasi.


Mungkin perkara ini adalah remeh untuk difikirkan, namun perlu kepada transformasi supaya semua tenaga,masa dan kewangan yang dilaburkan berbaloi dengan LDP yang dirancang. Mungkin kita dapat pelajari teknik merancang latihan seperti syarikat korporat dalam mengenalpasti kesesuaian dan tahap latihan yang perlu diadakan berbanding hanya menjalankan begitu sahaja. Syarikat korporat merancang dengan teliti jika mahu mengadakan latihan. Pokok pangkalnya, latihan yang diadakan perlu mempunyai return of investment atau ROI. Mereka juga memastikan pekerja mereka mencapai KPI selepas menerima latihan yang berkaitan.

Oleh sebab itu, perlunya transformasi yang menyeluruh dalam menangani hal ini. Struktur dan modul memang sudah ada tetapi perlu konsisten dengan panduan yang diberikan selain menyesuaikan latihan suasana sekolah institusi berkaitan.

Salam Satu Ramadhan
Ditulis oleh: Fadzli, 22 August 2009 , Komen : 0

Kami warga cikgumalaysia.com mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pengunjung cikgumalaysia. Diharapkan ramadhan kali ini membawa erti yang penuh berkat buat hidup kita sebagai warga pendidik. Dengan keadaan negara yang masih diancam wabak selsema babi yang kini sudah menghampiri ratusan korban, diharapkan tugasan kita sepanjang ramadhan ini diberikan perlindungan dari tuhan supaya kita semua dilindungi daripada segala bencana, wabak dan dipermudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran kita.


Dengan dekatnya peperiksaan utama negara, paling hampir adalah UPSR yang akan bermula selepas cuti sekolah ini. Semoga ramadhan memberi inspirasi kepada kita dan anak murid kita demi mencapai keputusan yang memberangsangkan bagi peperiksaan kali ini. Semoga cuti pertengahan semester ini dapat memberikan kesempatan buat kita semua menghayati ramadhan yang mulia ini. Pihak kami juga memohon maaf jika ada kesalahan dan kesilapan semasa mengendalikan web ini. Biarpun baharu ramadhan, namun adalah baik buat kita semua merenung dan bermuhasabah diri semoga amal ibadah kita sepanjan bulan mulia ini lebih tenang dan fokus kepada tujuan mendekatkan diri dengan tuhan.

Ponteng sebab sekolah bukan lagi tempat yang menyeronokkan
Ditulis oleh: Fadzli, 20 August 2009 , Komen : 1

Gejala ini memang sudah lama. Jika mahu diperkatakan, masa zaman mana sekalipun ponteng tetap ada. Tidak perlu ada yang kata dahulu lain sekarang lain. Namun gejala ini serius sehingga melibatkan gejala-gejala lain seperti merokok, berpeleseran dan masalah sosial yang lain. Jika menteri yang bertanggungjawab risau, sebenarnya guru sudah lama risau.


Maklumlah, pelajar tidak dapat ditegur, dipukul sebab cikgu terhad kuasanya atau lebih tepat tiada kuasa langsung. Jika murid sekolah rendah, marah mungkin ada kesan namun jika menengah. Silap haribulan, habis harta benda cikgu mahupun diri cikgu itu sendiri. Masalah ini sudah lama, cuma baharu sedar sekarang untuk diperkatakan kembali. Umpama lauk yang dipanaskan semula.

Kita juga dengar mahu ada peruntukan untuk membenarkan kembali hukuman rotan disebabkan pendekatan kaunseling tampak kurang berhasil. Macam mana mahu berhasil jika kaunselor memanjang usung pelajar ke sana ke mari bagi sebarang aktiviti sekolah walaupun yang tidak berkaitan seperti pesta pantun. jadi ada rasional di sini kerja kaunselor kadang-kadang dibebankan hal remeh-temeh yang lain. Bila masa mahu buka fail untuk perundingan masalah pelajar.

Institusi sekolah perlu banyak lagi transformasi, bukan sahaja kepemimpinan yang ampuh namun perlu kreatif dengan suasana supaya sekolah bukan lagi penjara yang mempunyai loceng berbunyi untuk memenjara jasad pelajar namun perlu kepada kaedah yang mampu menjadikan sekolah sebagai tempat yang seronok untuk belajar.

Berkesankah pembelajaran melalui portal?
Ditulis oleh: Fadzli, 17 August 2009 , Komen : 0

Ramai yang bertanya kepada kami mengenai pembelajaran portal yang kini menjadi alternatif pusat tuisyen. Malah ada di kalangan pusat tuisyen yang sudah pun mengadakan laman web yang berasaskan tuisyen online. Sesuai dengan perkembangan ict yang menjadi kemestian abad ini, ia mengisi ruang yang berkesan kepada kemajuan bidang pendidikan. Namun, jika mahu dibandingkan dengan Pengajaran dan Pembelajaran dalam kelas mungkin ia masih belum mampu menggantikan sentuhan insan yang bernama guru.


Memang banyak latihan yang dibekalkan jika melanggan portal terbabit, namun jika tidak dimanfaatkan mungkin ia hanya pelaburan yang sia-sia. Tetapi dalam keadaan begitu, ramai ibu bapa yang sanggup membelanjakan duit langganan bagi memberikan anak-anak mereka keselesaan mendapatkan bimbingan melalui portal.

Malah ada juga ibu bapa yang tiada internet di rumah kadang-kadang terpedaya dengan pujukan penjual sistem berkenaan. Kesemua ini bergantung kepada keperluan. Jika mampu, silakan. Jika tidak, abaikan sahaja. Sebaik mana pun portal dan sistem yang dimiliki, jika tidak dimanfaatkan tiada gunanya. Sesetengah guru juga ada yang berniaga sistem ini memandangkan ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini melakukan pemasaran secara MLM. Peluang bisnes yang ada membolehkan sestengah guru menceburkan diri dalam perniagaan ini. Perkembangan ini memang bagus berbanding membawa kain, tudung, baju, kuih raya, atau tonik kesihatan ke sekolah. Begitu juga bedak kecantikan yang mengebukan pipi cikgu perempuan, lebih baik membawa sistem portal pendidikan berbanding semua yang lain untuk dijual di sekolah.

Tetapi diharapkan jangan sampai memaksa untuk masuk berniaga sebagai downline sehingga menganggu emosi rakan guru yang lain.

H1N1: Keadaan membimbangkan garis panduan masih kabur
Ditulis oleh: Fadzli, 14 August 2009 , Komen : 0

Menteri kesihatan membuat kenyataan sekolah dan mana institusi pendidikan hanya ditutup jika terdapat kehadiran pelajar dan pengajar yang terlalu sedikit. Ia dikatakan hanya sebagai langkah akhir dalam membendung penyebaran H1N1. Namun adakah jelas jika ukuran kehadiran memadai menjadi petunjuk sesebuah sekolah itu dapat ditutup. Perkara membabitkan polisi khususnya penutupan sekolah tidak hanya dapat dibuat keputusan oleh pengetua mahupun guru besar disebabkan perlu merujuk kepada jabatan kesihatan.


Sememangnya pihak guru besar dan pengetua sudah pun memiliki panduan menghadapi situasi ini, kebanyakan kekeliruan timbul di kalangan waris dan ibu bapa pelajar. Kekurangan maklumat mengenai status kesihatan warga sekolah dan ditambah kebimbangan jangkitan baru merimaskan mereka. Justeru, sekiranya ada sekolah yang tidak mengambil langkah proaktif menerangkan keadaan sebenar, menukarkan kebimbangan kepada fobia.

Malah ada di kalangan waris mengambil langkah sendiri dengan tidak menghantar anak ke sekolah serta tidak pula memaklumkan sebab ketidakhadiran kepada pihak sekolah. Walaupun belum lagi dalam situasi kelam-kabut, seharusnya pihak berwajib sudah menggerakkan task force ke sekolah-sekolah dan institusi pendidikan bagi menyampaikan kempen dan menyemak status selamat setiap institusi ini.

Jangan tunggu sampai semua tidak datang sekolah baharu mahu tutup.

Guru bukan lagi kerjaya atau kerja semata-mata, namun hidup…
Ditulis oleh: Fadzli, 12 August 2009 , Komen : 2

Saya sempat berbual dengan orang kanan kementerian yang kini sudah pun pencen. Beliau orang besar dalam Bahagian Teknik & Vokasional dahulu, kini menjadi konsultan pendidikan teknik dan vokasional untuk  negara arab. Beliau berkata kepada saya, adakah guru itu kerja ataupun kerjaya. Seperti biasa saya kata ia adalah kerjaya sebab ia nampak lebih serius berbandaing kerja. Menyelesaikan kerja tidak sama dengan membina kerjaya.


Saya berkata kerjaya itu lebih menggambarkan betapa penting sebuah profesion itu berbanding hanya menganggap kerja semata-mata. Tambah saya lagi, kerja boleh selesai namun kerjaya perlu ada destinasi dengan diiringi visi dan misi peribadi mahupun organisasi. Jadi, saya lebih selesa menganggap kerjaya berbanding kerja.

Sebagai guru yang baharu, banyak lagi perlu dipelajari. Sudah tentunya jawapan saya ditempelak dengan mudah oleh beliau. Katanya mudah, sesiapa mahu menjadi guru perlu tahu bahawa itu bukan lagi kerja mahupun kerjaya malah hidup kita. Sebab kita menjadi barisan hadapan yang memastikan semua pelaksanaan dasar dan agenda pendidikan tercapai.

Beliau berkata, sebenarnya ramai guru yang mampu menjadi guru yang baik sebab jika mereka mengajar dari hati. Bukan mengajar kerana makan gaji. Sifat berkira mahupun makan hasil orang perlu ditinggalkan jauh-jauh. Kata beliau lagi, jika jadi jurutera kena jaga mesin begitu juga doktor yang hanya menjaga pesakit. Tetapi bagi guru, kita menghasilkan manusia yang benar menjadi manusia. Maka tugas kita lebih mencabar.

Beliau juga berkongsi bahawa kata-kata guru itu lebih diingati berbanding kata-kata ibu bapa. Saya bertanya mengapa begitu, beliau hanya menjawab, jika salah ajar, murid ikut sahaja walaupun dibetulkan oleh sesiapa murid itu mesti tidak ubah pendirian kecuali gurunya membetulakan kembali apa yang diajar.

Beliau juga menyatakan adakala kerja guru senang. Pergi pagi pulang tengahari. Itu cikgu biasa. Namun cikgu yang bertanggungjawab pergi pagi, pulang malam. Penuh seharian dengan aktiviti yang perlu diisi. Belum lagi membawa buku latihan dan pelbagai ABM. Itulah guru, begitupun ada yang menganggap kerja cikgu mudah.

 

Kerja Kosong di PTS Publications
Ditulis oleh: Azmi Mamat, 11 August 2009 , Komen : 0
PTS Publications & Distributors Sdn Bhd ingin mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk memohon jawatan Editor Fiksyen untuk kategori kanak-kanak, dewasa & terjemahan.


a. Kriteria
  • Memahami apa itu fiksyen
  • Hidup, makan, mandi, tidur dan ghairah dengan fiksyen
  • Punyai daya imaginasi dan fantasi yang dinamik
  • Faham keperluan fiksyen dan perkembangan genre yang terkini
  • Boleh mengenalpasti kekuatan atau kelemahan sesuatu manuskrip
  • Cermat, teliti dan tegas dalam suntingan

PTS Publications & Distributors Sdn Bhd ingin mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk memohon jawatan Editor Fiksyen untuk kategori kanak-kanak, dewasa & terjemahan.


a. Kriteria
  • Memahami apa itu fiksyen
  • Hidup, makan, mandi, tidur dan ghairah dengan fiksyen
  • Punyai daya imaginasi dan fantasi yang dinamik
  • Faham keperluan fiksyen dan perkembangan genre yang terkini
  • Boleh mengenalpasti kekuatan atau kelemahan sesuatu manuskrip
  • Cermat, teliti dan tegas dalam suntingan

b. Kualiti
  • Berdikari
  • Berorentasikan keputusan
  • Penguasaan dalam Bahasa Melayu Tinggi
  • Boleh berorganisasi dalam kumpulan yang sering mencabar kesabaran
  • Patuh dengan masa

c. Syarat Wajib Permohonan
  • Sanggup bekerja di Batu Caves, sepenuh masa
  • Kelulusan akademik yang cemerlang
  • Terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum semasa di sekolah, kolej dan universiti

Cara Untuk Memohon

  1. Muat turun Borang Permohonan Jawatan
     
     
  2. Calon-calon boleh memohon jawatan kosong seperti di atas dengan cara yang berikut:
    • Pos biasa
      Sila tulis jawatan yang dipohon di sebelah kiri atas sampul surat anda. Semua permohonan boleh dihantar kepada alamat:

      JABATAN SUMBER MANUSIA & PENTADBIRAN
      PTS PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD
      NO 12 & 12A, JALAN DBP
      DOLOMITE BUSINESS PARK

      68100 BATU CAVES, SELANGOR
    • E-mel
      Nyatakan jawatan yang dipohon di tajuk emel anda. Kemukakan semua permohonan melalui e-mel ke alamat hrda@pts.com.my
Hantar hospital salah. tidak hantar lagi salah…
Ditulis oleh: Fadzli, 11 August 2009 , Komen : 0

Arahanterbaru dari kementerian yang mahukan cikgu membuat pemeriksaan khususnya suhu badan pelajar-pelajar. Cikgu juga mempunyai peranan penting semasa keadaan yang genting ini. Sambil menidakkan risiko yang diambil, cikgu adalah barisan hadapan yang menghadapi pelajar-pelajar yang mempunyai perkaitan serius dengan H1N1. Kecewa dengan sikap sesetengah waris yang merendahkan keupayaan cikgu untuk melakukannya.


Rakan-rakan guru amat tertekan dengan sikap segelintir waris yang merendah-rendahkan tugasan cikgu untuk memeriksa anak mereka di sekolah. Selain menyindir cikgu yang kononnya mahu berlagak sebagai doktor kekadang hanya memanaskan telinga. Itu belum lagi dengan budi bicara cikgu membawa anak didik yang mempunyai masalah kesihatan ke klinik berdekatan.

Pura-pura tidak tahu atau sengaja tidak tahu adalah mainan waris yang kekadang meremehkan isu H1N1. Ada rakan cikgu yang mengadu kepada saya, beliau cuba bawa ke hospital kerana suhu demam yang melampau tetapi tidak dihargai oleh waris malah dimarahi kerana cikgu sudah menganggap anak mereka dijangkiti H1N1.

Dalam keadaan getir ini, cikgu berhadapan dengan anak murid dan pelajar yang bermacam kerenah terpaksa melalui kerenah ibu bapa juga. Sedangkan cikgu bertanggungjawab atas segalanya jika apa-apa berlaku kepada anak didiknya. Kekadang cikgu tidak bertindak sendirian dalam menjalankan tugasnya khususnya hal kesihatan. Ada juga ibu bapa buat tidak kisah walaupun anak selsema dan demam yang melampau, dihantar juga ke sekolah sebab sibuk mencari duit. Sedangkan hari-hari iklan KKM tersiar mengenai gejala dan langkah awal menghindari penyakit selesema babi ini. Ada yang mengambil ringan sehinggakan cikgu pula bertungkus-lumus memeriksa suhu badan, membawa ke hospital atau ke rumah mereka sendiri. Itu pun tidak disyukuri sesetengah waris.

Namun tidak dinafikan, ada juga waris yang bertanggungjawab sehingga mengucapkan terima kasih dengan membuat kenduri kesyukuran di sekolah disebabkan anak mereka tidak dijangkiti. Kita sebagai guru bukan meminta lebih kepada waris sebab kita tahu kita juga sebahagian daripada waris. Namun tanggungjawab tetap tanggungjawab dan ia tiada kompromi. Tambahan lagi hal kesihatan, jika ada cikgu yang ada inisiatif membawa anak muridnya ke hospital seharusnya hargai usaha mereka kerana susah-payah dan  cikgu juga berisiko tinggi dijangkiti.

Ucapkanlah terima kasih, budi bahasa itu budaya kita...

Mengapa import pakar luar jika pakar tempatan sudah ada
Ditulis oleh: Fadzli, 10 August 2009 , Komen : 1

Dengan tertera MOU bersama sebuah universiti di Australia, dijangkakan pakar-pakar luar akan melatih guru-guru kita supaya hebat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Sedih sekali kerana kita sudah pun mempunyai jabatan-jabatan yang diwujudkan di setiap IPTA yang mempunyai kepakaran dalam Bahasa Inggeris khususnya TESL.


Ke mana kepercayaan kita letak sedangkan pakar-pakar tempatan memang ada di setiap menara gading yang bersedia bila-bila masa bagi merangka agenda penguasaan Bahasa Inggeris. Bukankah suatu keadaan braindrain jika keadaan ini dibiarkan walhal ada di kalangan mereka di hantar jauh-jauh ke luar negara bagi membawa pengetahuan dan pengalaman baru sesuai untuk digunakan kepakaran mereka merangka dan melatih guru-guru Bahasa Inggeris di Malaysia.

Selain itu, kita juga memiliki guru-guru pakar Bahasa Inggeris yang mampu membantu melatih guru-guru muda dan baru dalam melaksanakan pendekatan yang lebih efisien bagi merencanakan penguasaan Bahasa Inggeris berasaskan konteks tempatan. Tiada salahnya mengambil orang lain yang mahu membantu  pendidikan kita, namun mengapa kita kurang pandang pakar-pakar yang ada di negara sendiri.

Hujan emas negeri orang, hujan batu negeri sendiri....

Ke mana janji guru disiplin digazetkan sebagai pejawatan baru
Ditulis oleh: Fadzli, 07 August 2009 , Komen : 1

Pada tahun 2007, ketika Dato' Noh menjadi Timbalan Menteri dalam seminar disiplin yang diadakan di kajang ada menerima cadangan dan resolusi daripada semua delegasi yang terdiri daripada guru, pengamal perundangan, PIBG nasional dan beberapa NGO yang lain. Cadangan serta resolusi yang terkandung adalah mahu menjadikan jawatan guru disiplin sebagai pejawatan yang baru di setiap sekolah khususnya di sekolah menengah.


Selain itu, lanjutan daripada cadangan yang dilontarkan resolusi juga ada terkandung bahawa jawatan guru disiplin ini adalah bersifat profesional dalam menangani isu disiplin secara total tanpa diganggu dengan masa mengajar yang membebankan. Sehinggakan cadangan berkenaan mahukan guru disiplin tidak terlibat langsung seperti kaunselor sekolah yang memang tidak diperuntukkan masa untuk mengajar.

Secara profesionalnya, mereka bakal merangka dan menangani permasalahan disiplin di samping segala tindakan perlu merujuk pengetua khususnya. Pada masa seminar berkenaan, ramai yang optimis ia bakal diadakan perjawatan baru yang menjamin nasib guru disiplin yang dibela. Jika diteliti, kebanyakan sekolah orang yang kurang disenangi pelajar adalah guru disiplin.Jika ada sejarah seseorang guru disiplin yang mempunyai sakit kronik sudah pastinya jawatan itu tidak sesuai baginya. Terutama darah tinggi.

Guru disiplin bukan sahaja terganggu kesihatannya namun emosinya juga. Malah harta benda juga tidak terjamin jika ada tindakan guru disiplin yang tidak disenangi pelajar yang memang samseng budaya hidupnya. mungkin di sekolah rendah marah dan dendaan mampu lagi membendung keadaan namun tidak lagi di sekolah menengah. Sehebat mana pun teknik psikologi yang ada, belum tentu menyelamatkan keadaan.

Di sekolah rendah pun masalah disiplin makin rumit, ada sekolah yang memiliki murid tahun satu yang menghisap rokok dan gam. Wah! memang rumit kerja guru selepas ini. Sekolah bukan lagi dianggap sekolah namun lebih kepada nursery. Ibu bapa hanya tahu hantar anak ke sekolah, yang lain semua cikgu uruskan termasuk pampers sekali.

Pokok pangkalnya, bila janji jawatan guru disiplin dapat digazetkan...

ICT: Kemahiran kritikal perlu kepada penguasaan segera warga pendidik
Ditulis oleh: Fadzli, 05 August 2009 , Komen : 2

Apabila menerima panggilan dari seorang rakan yang kini sedang berkursus KPLI, beliau terkilan semasa menjalankan praktikum beliau dibetahu oleh guru pembimbing yang penggunaan ICT hanya dibenarkan seminggu sekali sahaja. Perkara ini memang pelik, jika difikirkan dengan kemajuan teknologi yang serba canggih masa kini mungkinkah ungkapan seminggu sekali boleh dipakai.

 


Walhal, rakan saya ini juga seorang bakal guru sains yang sedang menjalani praktikum. Menjadi suatu kelebihan jika rakan saya ini melaksanakan P & P dalam power point. Namun begitu, perkara ini tidak dihargai oleh guru pembimbing terbabit. Barangkali bimbang kelebihan yang ada padanya. Yang anehnya lagi, mana ada sekatan jika ada guru mahu menggunakan powerpoint  yang hanya boleh digunakan seminggu sekali. Rasanya pekeliling pun tiada sekatan untuk tujuan pengajaran menggunakan LCD.

Rakan saya ini memang hebat dalam ICT, bekas jurutera selama 9 tahun serta pernah memberi kursus powerpoint bermodulkan interaktif kepada ratusan organisasi. Tentunya kelebihan itu digunakan semasa praktikum beliau. Murid juga terpegun dengan slaid yang dibuat sehingga memukau pelajar dari awal hingga akhir pengajaran.

Dengan tidak menafikan peranan papan hitam dan kapur, sebenarnya zaman itu sudah berlalu. Namun teknologi lama kapur dan papan hitam bukan tinggal sejarah tetapi masih ada tempat bagi diaplikasikan bersama-sama dengan ICT. Seharusnya penguasaan ICT bukan lagi pilihan namun kemestian kepada semua warga pendidik. Begitu ramai guru yang mempunyai blog sendiri sehingga pelajar juga menghantar komen ke dalam blog guru masing-masing. Tindakan ini bukan sahaja membina keakraban pelajar dengan guru namun mengukuhkan pengetahuan ICT kepada warga sekolah.

Jika tidak mahu jadi dinasour zaman ini, ICT perlu menjadi teman karib kita sekarang.

Tiada perubahan cuti mahupun penundaan peperiksaan utama
Ditulis oleh: Fadzli, 05 August 2009 , Komen : 0

Jawatankuasa kementerian yang bermesyuarat semalam memutuskan tiada sebarang perubahan berkenaan cuti sekolah yang dijadualkan hujung bulan ini. Begitu juga dengan tarikh peperiksaan utama. Perkara ini sudah dijelaskan dalam Buletin utama semalam


Hilangkah jati diri bahasa ibunda jika pendidikan kita terlalu pentingkan BI
Ditulis oleh: Fadzli, 04 August 2009 , Komen : 0

Apabila melawat seorang kawan lama yang sudah pun pencen dari dunia pendidikan, beliau terlalu risau dengan pelbagai perubahan mendadak polisi pendidikan yang baginya terlalu capat berubah. Dalam perbualan dengan beliau, jika dunia pendidikan memang dinamik tetapi tidak semestinya polisi mudah diubah. Jika ada pun sanjungan untuk kerajaan sekarang, sudah tentunya keputusan u-turn PPSMI kembali kepada bahasa ibunda.


Namun beliau orang yang sudah pencen, merasakan kementerian seolah-olah risau dengan keputusan mengembalikan PPSMI kepada bahasa ibunda dengan diumpamakan bagaikan melatah dengan orang-orang pro PPSMI yang mahukan penyelesaian kerajaan dalam mengukuhkan BI di kalangan murid. Muncul pelbagai saranan yang terlalu mengagungkan BI sehingga pelbagai cara termasuk sumber manusia diperkukuhkan sehingga mahu mengambil guru daripada luar bagi mengajar bahasa Inggeris.

Beliau juga mempersoalkan mengapa guru daripada luar yang perlu dipanggil, sedangkan tiadakah bakat-bakat dalam kementerian sendiri yang dapat mengajar BI. Ke manakah penyelidikan pakar-pakar bahasa Inggeris yang berpusat di setiap IPT yang mampu menjana modul lebih berkesan atau ke manakah hilang manuskrip modul bahasa Inggeris yang dihasilkan sebelum ini. Berapa billion lagi untuk perkasakan BI, Bahasa Malaysia ke mana selepas ini?

H1N1: Ambil mudah soal kesihatan cara mudah cepat dijangkiti
Ditulis oleh: Fadzli, 03 August 2009 , Komen : 0

Ketika sedang bahang demonstrasi jalanan sedang hangat diperkatakan, mungkin soal kesihatan khususnya masalah wabak H1N1 yang kini sudah pun menggegar institusi sekolah. Terbaru murid darjah 5 di Johor Bharu meninggal kira-kira 8.30 pagi semalam. Walau apapun kedudukan politik di negara ini, wabak yang sedia ada lebih bahaya dan parah jika hendak diperkatakan.


Sesetengah sekolah mengambil mudah terutamanya soal penediaan makanan khususnya kantin sekolah. Jangan ambil mudah soal kebersihan wahai semua pengusaha kantin. Dua minggu lepas sahaja banyak juga laporan keracunan makanan di kantin sekolah. Bila sudah jadi tuding-menuding kerja mudah semua pihak, apatah lagi pengusaha kantin.

Dengan kementerian sedang dalam pertimbangan mempercepatkan cuti pertengahan semester dua diawalkan begitu juga tarikh peperiksaan utama juga bakal diubah jika keadaan tidak mengizinkan. Kami menyeru semua warga pendidik supaya senantiasa ke hadapan demi merencanakan kehidupan berasaskan kesihatan menjadi amalan di kalangan guru, kakitangan sekolah dan peljar khususnya.

H1N1: Penularan wabak yang series, sila kemaskini pengetahuan semasa melalui web kementerian
Ditulis oleh: Fadzli, 31 July 2009 , Komen : 0

Selepas kes demi kes penularan wabak H1N1 yang kini boleh dikatakan pada tahap membimbangkan. Pihak web cikgumalaysia.com menasihatkan semua guru dan warga pendidik dapat merujuk web kementerian bagi mengetahui perkembangan semasa dan terkini. Selain daripada itu, dengan merujuk pejabat JPN ataupun PPD terdekat juga dapat membantu bagi menangani sebarang kemungkinan penyebaran ke sekolah kita.


Kesemua senarai sekolah yang dijangkiti dan sudah diarahkan tutup dapat diperolehi melalui link ini KPM. Pekeliling dan arahan terkini juga dapat diketahui web rasmi kementerian bagi mengelakkan salah faham makna kuarantin dan sebagainya.

Kemahiran Hidup: Perlu selitkan biografi orang berjaya walau kurang pencapaian akademik.
Ditulis oleh: Fadzli, 30 July 2009 , Komen : 1

Hal silibus memang penting dalam pendidikan. Nadi kepada pembaharuan pendidikan generasi muda adalah bergantung kepada keupaayan memperkasakan kurikulum. Sebagai sebahagian daripada subjek elektif, Kemahiran Hidup seringkali dikatakan kurang bernyawa di sekolah. Silibus yang hanya mengajarkan membuat itu dan ini yang fokus utamanya hanya menghasilkan produk. Tidak dinafikan minat pelajar dapat dilentur apatah lagi Kemahiran Hidup sudah diajar di sekolah rendah lagi.


Sebagai cadangan yang dapat difikirkan, masa kini selain daripada kandungan silibus Kemahiran Hidup dapat diperkayakan lagi dengan biografi ringkas orang berjaya sama ada tempatan mahupun luar negara. Sesetengah mungkin menganggap remeh perkara ini, tetapi tiada salahnya jika ia dapat diserap dalam silibus sekarang.

Mempelajari sikap dan tujuan hidup orang berjaya dapat sekurang-kurangnya melentur sifat jati diri yang kukuh berasaskan semangat berdikari serta usaha yang gigih. Tokoh-tokoh perniagaan dan usahawan mungkin dapat diambil sebagai pilot test  sebagai pengisian silibus ini. Pakar-pakar pengkaji tingkah laku dan psikologi dapat menyumbang dalam merumuskan tingkah laku kejayaan supaya anak-anak kita memandang tinggi sifat keusahawanan mereka.

 

Berkesankah sekolah dua sesi?
Ditulis oleh: Fadzli, 27 July 2009 , Komen : 3

Waktu petang selalu memenatkan serta bagi setengah orang ia kurang sesuai mahupun selesa untuk belajar. Walau bagaimanapun, keadaan sekolah yang kurang terutama sekitar kawasan luar bandar seringkali menjadikan sekolah dua sesi sebagai alternatif bagi meleraikan keadaan. Justeru jika sesi petang sudah tentunya ia memenatkan pelajar ataupun murid yang terpaksa mengharung petang mereka dengan kepenatan ditambah lagi perlu hadir ke sekolah.


cikgumalaysia memandang series sekolah yang kurang di sesuatu kawasan sehingga memaksa sesetengah sekolah menjalankan sekolah dua sesi. Sesi petang langsung tidak efektif untuk pengajaran dan pembelajaran secara berterusan sehingga lewat petang baharu pelajar sekolah dapat sampai ke rumah. Produktiviti bagi pelajar menjadi kurang kerana keletihan semasa waktu petang yang ternyata memenatkan.

Sungguhpun pagi yang terluang merupakan masa timbal balik sebelum ke sekolah. Ia kurang dioptimakan oleh pelajar semasa di rumah bagi membuat kerja sekolah malah memanjangkan waktu tidur sehingga dua jam sebelum ke sekolah. kekurangan sekolah adalah faktor utama perkara ini berlaku. Agak menghairankan sesetengah tempat berlebih sekolah tetapi muridnya kurang. Sesetengah tempat pula kurang sekolah sehingga berlaku lambakan pelajar. Bagaimana perancangan kementerian mengatasi hal sebegini.

Pelajar bukan berkurang malah betambah!

Jika mahu berniaga…
Ditulis oleh: Fadzli, 25 July 2009 , Komen : 1

Web ini mengalu-alukan usahawan yang mahu mengembangkan perniagaan melalui web ini. Justeru pihak kami mengucapkan terima kasih atas tinggalan iklan yang ada shoutbox kami.Pihak web ini sebenarnya kurang menggalakkan saudara semua berbuat demikian. Namun jika niat saudara semua untuk memajukan perniagaan, kami ada ruang yang diberikan percuma melalui ruangan forum.


Tidak menjadi kesalahan meninggalkan jejak di shoutbox. Namun kekurangannya mesej saudara hanya boleh bertahan hanya beberapa hari sahaja berbanding meninggalkan segala perkhidmatan di ruang yang disediakan dalam forum. Diharapkan juga saudara semua perlu kaitkan kelebihan perniagaan saudara dengan bidang perguruan. Sama ada diskaun atau alat dan perkhidmatan yang dapat dinikmati untuk guru. Tidak perlu ubat kuat atau seumpama dengannya kerana kurang relevan dengan bidang perguruan kecuali web lain yang membicarakan mengenai kesihatan dalaman lelaki ataupun wanita.

Cikgu, politik itu kotorkah?
Ditulis oleh: Fadzli, 24 July 2009 , Komen : 1

Susah hendak dijawab. Soalan ini ditujukan kepada saya selepas kelas beberapa hari yang lalu. Orang yang bertanya bukan tingkatan tiga tetapi darjah tiga. Jika saudara ditanya oleh anak murid sebegitu apa agaknya jawapan saudara. Ada yang dapat dijawab, malah ada yang hanya membisu dan biarkan sahaja soalan itu digantung. Fahamkah murid ini jika diterangkan panjang lebar sekiranya jawapan kita bertaraf universiti.


Tidak menafikan kecerdikan dan luasnya pendedahan murid saya ini, saya fikir mungkin dia juga terdedah dengan pelbagai berita yang sungguh merisaukan sehingga ada yang terbunuh hanya atas nama politik dan skandal. Tidak mengajukan kepada mana-mana pihak, sebagai guru berita yang begitu menyayat hati berkenaan kematian seorang setiusaha politik kepada seorang adun rupanya menarik minat budak kecil iaitu murid saya.

Ya! media bagi murid sekolah rendah bukan lagi radio dan televisyen. Tetapi murid ini seraya berkata

"Saya baca berita internet cikgu." dengan selamba sahaja dia memberikan jawapan

Lalu soalnya adakah politik itu kotor. Jawapan saya mudah, ikut orang kalau kotor orang itu, kotorlah politiknya. Jika baik kepemimpinannya baiklah juga politiknya.

Guru-guru BI berpeluang besar, guru BM ke mana arahnya…
Ditulis oleh: Fadzli, 22 July 2009 , Komen : 0

Guru-guru BI kini mempunyai peluang besar jika berasaskan kecenderungan kementerian memberi perhatian khusus kepada penguasaan bahasa Inggeris. Agak menghairankan apa pula nasib guru-guru Bahasa Melayu yang dapat dikatakan seolah-olah kurang berprospek tinggi dalam kerjaya perguruan. Selain insentif, segala kemudahan asas bakal dipenuhi jika ada guru cemerlang Bahasa Inggeris mahu berkhidmat di kawasan pedalaman


Jika diteliti tawaran kementerian kepada guru cemerlang yang mahukan mereka berkhidmat di pedalaman mungkin susah direalisasikan. Siapa di antara guru-guru cemerlang yang ternyata tinggi senioriti mahu berkhidmat di pedalaman. Mahukah mereka meninggalkan keselesaan dan faktor kekeluargaan yang lain? Tawaran luar biasa ini diumpamakan tawaran yang sudah diketahui semestinya tiada yang mahu ke sana. Dalam memberikan tawaran biarlah relevan. Mungkin guru-guru muda yang mempunyai keupayaan dapat dihantar ke sana.

Jika benar sistem kekananan mahu dikurangkan dalam hal kenaikan pangkat, mampukah ia dapat dilaksanakan. Penentangan semestinya wujud buat yang menjadi orang lama dalam pendidikan. Transformasi sebegini perlu ada strategi yang jelas seperti pemberian kouta atau penilaian KPI yang telus dalam menentukan kenaikan pangkat.

Belenggu bebanan kerja pengurusan juga perlu dilihat dengan serius terhadap guru-guru. Ia bukan lagi pilihan buat kementerian kerana beban kerja guru memang serius. Lihat sahaja cikgu-cikgu sains sekolah rendah yang terpaksa bertungkus - lumus menyediakan peralatan khususnya peralatan makmal yang dapat menjejaskan prestasi pengajarannya. Itu belum lagi hal kertas litmus yang tidak dipunyai di makmal sekolah. Jika mahu memperkatakan pembangunan, perlu juga kementerian penuhi sumber manusia seperti pembantu guru, pembantu makmal yang cekap dan kerani sekolah yang tidak sombong dengan guru.

Home schooling- Trend baru rakyat Malaysia
Ditulis oleh: Fadzli, 21 July 2009 , Komen : 0

Semakin ramai rakyat Malaysia yang mengamalkan home schooling buat anak-anak mereka. Jika mereka berpendapatan menengah mahupun yang berada sudah mengorak langkah dengan mengadaptasi trend ini. Dengan merasakan suasana sekolah terutama budaya negatif sering dikaitkan dengan generasi sekarang adalah faktor utama mereka mencari alternatif persekolahan yang hanya duduk di rumah. Dengan fungsi tuisyen di rumah yang dapat menggantikan peranan guru, ia semakin mudah untuk dilakukan.


Perkara ini sudah pun menjadi budaya di negara-negara maju yang hanya mahukan anak mereka belajar di bawah pengaruh ibu bapa di rumah tanpa menghantar anak ke sekolah. Selain ada yang menganggap menghantar anak ke sekolah sebagai membuang masa serta membebankan belakang badan menggendong buku, bersekolah di rumah adalah perkara yang baik buat anak mereka.

Selain menimatkan masa anak-anak mereka dan mengurangkan tekanan mempelajari pelajaran yang tidak berorientasikan peperiksaan seperti sivik dan beberapa lagi, ia dianggap langkah yang tepat untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

Walaupun begitu, kesan psikologi dan perkembangan sosial pelajar mungkin sedikit terbantut jika tidak diambil perhatian memandangkan pergaulan yang terhad dengan rakan sebaya. Kemahiran komunikasi pelajar yang hanya bersekolah di rumah berkemungkinan tumpul jika tidak diambil perhatian. Jika ada yang mahu berbuat demikian, pastikan para pelajar ini mengambil subjek komunikasi ataupun mendedahkan mereka dengan persekitaran supaya menampung kekurangan yang ada.

 

Apabila orang politik suruh mansuh UPSR
Ditulis oleh: Fadzli, 20 July 2009 , Komen : 1

Lapor utusan semalam yang menyebut tokoh politik menggesa supaya dimansuhkan mungkin ada pro dan kontranya. Jika ukuran UPSR sebagai medan perlumbaan merebut kouta masuk SBP mungkin ada relevannya. Namun jika mahu diukur saranan supaya subjek sejarah diajar di sekolah rendah mungkin pelik bunyinya. Kewibawaan Pusat Perkembangan Kurikulum mungkin tercabar jika saranan sejarah mahu diambil kira supaya diajarkan di sekolah rendah


Sebab orang politik pandai berkata dan mencadangkan itu dan ini walhal bukan mereka yang melaksanakan kerja. Modal air liur sesetengah golongan yang mahu melonjakkan status politik sering menjadikan isu pendidikan sebagai turning point kerjaya politik. Maklumlah, kementerian pelajaran besar pengaruhnya. Jika sebelum ini pun kouta kemasukan ke SBP siapa yang banyak sapu, kebanyakan orang miskin atau luar bandar payah memperolehi tempat.

Berapa banyak lagi mata pelajaran yang perlu dibawa di sekolah rendah. Pernah atau tidak kita mengkaji sebelum bercakap. Asal ada masalah semua mahu dilambakkan ke sekolah. Kelab itu dan ini. Subjek itu dan ini. Semua lambak ke sekolah. Agaknya jika guru kumpulan A sudah berpolitik, sesuai agaknya buka kelab penyokong parti politik pula di sekolah...apa pendapat semua?

Jadikan GSTT sebagai guru yang diserap masuk sebagai guru tetap
Ditulis oleh: Fadzli, 17 July 2009 , Komen : 28

Ramai yang kata, orang mahu jadi guru sebab kerja dengan kerajaan. Dengan masalah kekurangan guru yang meruncing terutamanya guru bahasa Inggeris sudah tentu menyebabkan kelompangan yang besar dalam pengurusan sumber manusia. Guru perlu cukup dengan nisbah pelajar yang semakin bertambah hari demi hari.


Masa yang sama ada yang mempertikaikan keupayaan graduan KPLI dan DPLI dalam melayari karier guru. Kata-kata ini diperhebatkan lagi dengan nada yang bernada sinis yang mengatakan golongan ini seolah-olah golongan tiada haluan kerjaya lalu memilih guru sebagai galang ganti menyelamatkan hidup mereka. Apa salahnya selepas ini hentikan sahaja pengambilan KPLI dan DPLI.

Sebagai alternatif ambil guru sandaran tidak terlatih yang diberi kontrak dua tahun lalu dinilai keupayaannya kemudian serapkan mereka jika benar-benar layak. Tinjauan cikgumalaysia mendapati ramai di kalangan GSTT yang memang layak namun masih lagi bertaraf kontrak disebabkan mereka perlu juga bersaing dalam pemilihan KPLI yang akhirnya menyebabkan nama mereka tercicir. Ada di kalangan mereka berkhidmat sebagai GSTT melebihi tiga tahun yang dihantar ke sana ke mari bersesuaian dengan kekosongan guru di sekolah. Tempoh dua tahun bagi GSTT yang bertugas sudah layak menunjukkan komitmen mereka yang bersungguh-sungguh meminati bidang perguruan.

Berilah ruang kepada mereka jika terbukti mereka layak. Ini mengurangkan risiko Bahagian Pendidikan Guru mengambil calon yang hanya pandai berlakon selama beberapa minit semasa sesi temuduga namun lain halnya bila sudah berkhidmat. Jad selepas ini lebih mudah orang kementerian tutup mulut jika mahu mencari calon guru yang sesuai. Daripada mendengar tong kosong menghina saluran itu dan ini yang katanya tidak berkesan menghasilkan bakal guru yang cemerlang.

Mengapa latihan dalam perkhidmatan hanya melepaskan batuk di tangga
Ditulis oleh: Fadzli, 16 July 2009 , Komen : 4

Salah satu punca kurangnya budaya kerja cemerlang di sekolah adalah disebabkan pelaksanaan latihan dalam perkhidmatan yang hanya dibuat sekadar memnuhkan taqwim program sekolah. Latihan dalam perkhidmatan atau singkatannya LDP adalah program yang perlu direncanakan oleh pihak sekolah terhadap semua guru mahupun kakitangan sekolah. Jelasnya, LDP ini diibaratkan sebagai kursus profesional yang dijalankan sebagai latihan peringkat dalaman warga sekolah.


Rata-rata tinjauan kami, kebanyakan guru merungut disebabkan LDP yang diadakan hanya membebankan dan bukan memberi manfaat yang jelas kepada peserta. Secara amnya, terdapat keraguan semasa pelaksanaan LDP iaitu:

1) Melantik penceramah di kalangan guru sendiri atau pentadbir yang ternyata diragui kebolehan menyampaikan latihan khususnya latihan komputer. Terdapat sekolah mengambil jalan mudah dengan menyuruh mana-mana guru menyediakan dan menyampaikan latihan walhal guru berkenaan tidak tahu menggunakan komputer apatah lagi Browse internet.

2) Kesan sebab pertama, tempiasnya sehingga ada penceramah yang dilantik kadang-kadang hanya bersifat kroni pentadbir, walhal penceramah ini pun hebat juga malasnya di sekolah. Ada kes yang guru-guru yang dilantik tidak pernah bagi komitmen, tetapi tahu pula menyampaikan ceramah budaya kerja cemerlang.

3) Ada sekolah yang jemu berjumpa penceramah yang sama walaupun mereka ini dijemput dari luar. Kadang-kadang ada yang lebih lawak dari isi penting LDP..

4) Peruntukan yang terhad menyebabkan ada sekolah hanya buat sekadar melepaskan batuk di tangga supaya PPD tanya, sekurang-kurangnya laporan sudah dihantar.

 

Ketika ini, jika perkara ini masih membelenggu perjalanan latihan di sekolah, bagaimana budaya kerja cemerlang dapat diterapkan. Sebaiknya, LDP perlu dipandang serius sebagai kursus profesional yang dapat memberikan manfaat kepada semua warga sekolah. Guru terutamanya dapat memberikan komitmen jikalau hujung minggu yang diluangkan untuk LDP memberikan kesan positif kepada budaya kerja mereka. Lebih baik jangan buat latihan jika sekadar panggil penceramah yang mahu pasang LCD pun tidak pandai, harapkan guru media juga yang memasangnya. Bukankah pelik namanya itu!

Bah 2 :Bagaimana pengetua dapat mengesan rasa hormat menggunakan durian…
Ditulis oleh: Fadzli, 13 July 2009 , Komen : 1

Selepas mencapai kata putus bersama pengerusi PIBG, pengetua itu rasa puas. Keesokan harinya, pengetua hadir ke sekolah awal pagi lagi. Namun sebaik sahaja meletakkan beg di atas mejanya. Tiba-tiba serentak pintu dibuka, dan kelihatan PK Kokurikulum menyapa bosnya dengan ucapan salam dan pertanyaan khabar. Ternyata PK Kokurikulum menjengah bagi bertanyakan apa yang perlu dibuat bagi pesta yang bakal diadakan. Dengan mudah, beliau hanya mengarahkan supaya persediaan dilakukan dengan pihak kantin dengan menyediakan minuman, pulut dan santan bagi melengkapkan menu makan durian.


Menjelang tengahari, pengetua menerima kunjungan pengerusi PIBG bersama beberapa AJK PIBG yang lain.

"Cikgu, jangan risau ini semua ajk PIBG, saya sudah maklumkan pada mereka. Mereka pun tiada masalah malah ada berita gembira lagi." khabar Hj. Rahman

Apa yang gembiranya Tuan Haji? tanya pengetua

"Semua kos, ada yang bantu langsaikan semua namun orang berkenaan mahu rahsiakan namanya. Katanya sedekah sahaja." bongkar Hj Rahman

"Alhamdulillah, bertuah rezeki sekolah ini. Susah-susah sahaja Tuan Haji usahakan. Tidak tahu kami mahu balas dengan cara apa."jawab pengetua dengan gembira

"Beginilah cikgu, jika ada yang PIBG perlu bantu lagi, cikgu bagi tahu sahaja. Orang kampung boleh bergotong-royong nanti." tawar salah seorang ajak PIBG

"Baiklah, nanti mungkin saya hubungi jika ada apa-apa lagi." balas si pengetua

Selepas selesai urusan, kesemua AJK PIBG beredar bersama Hj. Rahman. Sambil tersenyum puas berseorangan, si pengetua sudah jumpa formula yang sebenarnya sekolah ini mempunyai potensi umpama gergasi yang sedang tidur. Cuma perlu dibangkitkan sahaja. Ini menunjukkan kesungguhan komuniti setempat tiada masalah cuma mungkin masalah komitmen orang dalaman sahaja. Tiba hari yang dinantikan, suasana sekolah yang sebelum ini suram kini kembali ceria kerana semua guru-guru dan pelajar-pelajar bersedia untuk melaksanakan pesta durian. Apabila ketika acara dimulakan, pengetua tidak dapat bersama kerana masih berada dalam bilik disebabkan ada ibu bapa yang sedang berurusan dengan beliau. Agak lama urusan itu berlangsung sehingga menyebabkan si pengetua tidak dapat menghadiri di awal majlis.

Pada penghujung majlis, baharulah pengetua selesai urusan dan datang ke kantin bagi melihat perkembangan majlis. Beliau terkejut kerana masing-masing guru dan kakitangan seolah-olah tidak menyedari kehadirannya. Mereka enak menjamu selera sehingga yang tinggal hanya kulit durian sahaja. Selang beberapa minit pengetua disapa oleh penolong kanan pentadbiran dan rasa bersalah kerana tiada langsung ulas durian yang ditinggalkan kepada pengetua. Dengan senyuman, pengetua tidak marah akan hal ini namun mengambil keputusan meninjau-ninjau pelajarnya yang makan di kantin dandisapa oleh seorang pelajar kemudian pelajar berkenaan menghulurkan beberapa ulas durian dalam pinggan kertas bagi dinikmati bersama. Mulanya beliau menolak, tetapi rasa kasih seorang guru yang juga pengetua mengatasi segala-galanya. Beliau melupakan segala protokol dan duduk bersama-sama pelajarnya menikmati dan berkenalan dengan pelajarnya.

Suasana tegang disebabkan tiada ulas durian dapat diserap dengan mudah oleh pengetua. Kematangan kepemimpinan beliau terselah sehingga menutup mulut pengkritik yang selalunya hanya bernada tin kosong. Rentetan selepas majlis, kesemua guru-guru dan PK tebal muka kerana tiada satu pun ulas disimpan untuk pengetua. Lebih memedihkan mereka, pelajar mereka sendiri yang berada kelas belakang yang sanggup berkongsi ulas durian bersama bos mereka sendiri. Sedangkan mereka tidak langsung memikirkan apa jasa dan budi baik pemimpin yang mencetuskan pesta makan durian sehingga mereka dapat menikmati hasil bumi yang begitu enak sekali. Kini kempunan si pengetua berbaloi, kerana pesta durian membuatkan beliau lebih disayangi oleh pelajarnya dan semua guru. Sekolah luar bandar ini kini sudah dicalonkan untuk sekolah cemerlang kerana kepemimpinan beliau.

Bagaimana pengetua dapat mengesan rasa hormat menggunakan durian…
Ditulis oleh: Fadzli, 12 July 2009 , Komen : 0

durian_fruit_t.jpgSeorang pengetua menganjurkan pesta makan durian yang sengaja dilakukan kerana sepanjang sejarah sekolah berkenaan tiada langsung acara sedemikian memandangkan kedudukan sekolah dikelilingi dusun durian. Pengetua ini juga di antara pengetua baharu dinaikkan pangkat serta perlu berpindah ke kawasan yang pedalaman namun kaya dengan rezeki buminya.


Beliau hanya bertugas baharu tiga bulan. Katanya kepada saya ada banyak perkara yang kurang menyenangkan namun pencapaian sekolah adalah perkara utama dalam senarai beliau untuk diperbaiki. Beliau juga mengaku yang susah mengubah budaya 'lembam' yang sudah berakar umbi dalam sekolah berkenaan. Namun bagi beliau, bukan salah sesiapa sekolah itu tidak bermaya tetapi keadaan sekolah yang berada di pedalaman menjadikan sekolah itu kurang perhatian semua pihak.

Sepanjang tiga bulan beliau merasakan ada yang tidak kena tetapi memerlukan bukti yang kukuh bagi menyangkal pelbagai alasan negatif yang diberikan guru dan kakitangan sekolah. Lebih senang dikatakan kakitangan bawahannya suka bermuka-muka di hadapannya tetapi lain di hati masing-masing. Bagi beliau, sesuatu perlu dilakukan bagi membuktikan kepura-puraan orang bawahannya.

Durian menjadi tema beliau disebabkan tidak pernah pihak sekolah adakan pesta makan durian. Baginya acara ini mungkin menjadi turning point mengetahui keperibadian orang bawahannya. Beliau kemudian membuat pengumuman semasa perhimpunan mingguan yang minggu berikutnya bakal diadakan pesta makan durian. Serentak dengan pengumuman itu, beliau dapat mengenal pasti rakan-rakan pentadbir mula cuak serta menggeleng-gelengkan kepala tanpa disedari oleh mereka. Mungkin dalam hati mereka perlu sibuk uruskan pesta yang tidak diduga ini. Selesai sahaja perhimpunan, semua bersurai dan memulakan tugas masing-masing.

Selepas pengetua masuk ke biliknya, semua penolong kanan memohon kebenaran masuk serta masing-masing dengan soalan yang sama. Mengapa keputusan dibuat tanpa berbincang kerana ia melibatkan banyak peruntukan yang perlu dilaburkan. Sambil  mempersilakan semua penolong kanan duduk di sofa, beliau menerangkan situasi sebenar program yang akan dilakukan:

"Saya memohon maaf kerana tidak maklumkan kepada semua yang kita akan mengadakan pesta makan durian ini." jelas beliau

"Kami semua pun terkejut cikgu, susah kita nanti, di mana mahu cari peruntukan sebab pelajar dan guru semua berjumlah 600 orang." luah penolong kanan pentadbiran.

"Saya faham dengan keprihatinan cikgu semua, tetapi janganlah risau saya cuba usahakan kita dapatkan buah durian dengan harga yang berpatutan sebab kita boleh minta nasihat pengerusi PIBG, beliau juga pengusaha dusun durian yang mungkin dapat bantu kita. Janganlah cikgu semua risau sangat ya!  jelas beliau dengan yakin.

Selepas mendapatkan penjelasan pengetua, mereka masih lagi terpinga-pinga dengan keyakinan pengetua. Bagi mereka di mana peruntukan yang mahu diambil atau mendapatkan sumbangan guru-guru yang bukan semudah difikirkan.Petang itu, pengetua ke rumah Hj. Rahman yang merupakan Pengerusi PIBG sekolah. Sambil menjelaskan acara pesta durian, beliau juga menjelaskan rasional program berkenaan. Setelah semuanya jelas, Hj. Rahman menyatakan persetujuan serta membantu pengetua berkenaan mendapatkan stok durian kira-kira berharga RM 6000.

"Cikgu jangan susah, bagi saya elok benar kita buat acara ini, sebab jika cikgu mahu tahu inilah kali pertama acara ini mahu diadakan." sokong Hj. Rahman

Sebelum ini? tanya pengetua

"Mana ada, paling besar pun acara sukan sekolah." jawab Hj. Rahman dengan yakin.

Beruntunglah pengetua ini yang mendapatkan kerjasama pengerusi PIBG yang begitu optimis dengan visi pengetua berkenaan.  Bersambung.........




Sedangkan suara hati pun boleh berubah, apatah lagi keputusan PPSMI
Ditulis oleh: Fadzli, 11 July 2009 , Komen : 0

Pemansuhan PPSMI yang dijadualkan pada 2012 mengundang reaksi berbeza pelbagai pihak. Cara yang dikatakan sebagai soft landing adalah merupakan agenda tersembunyi pihak tertentu yang hanya mahu meredakan kemarahan rakyat terhadap dasar itu. Mahar yang dibayar oleh semua pejuang mansuhkan PPSMI adalah berhadapan dengan pelbagai tindakan undang-undang. Termasuk dipancutkan air gatal semasa demonstrasi Mac lalu.


Soalnya mengapa 2012 dan bukan tahun hadapan. Jawapan mudah pihak atasan hanya menyatakan segala keputusan tidak boleh terburu-buru kerana banyak aspek khususnya persediaan bagi memulakan dasar baharu. Justifikasi yang diletakkan pak menteri belum cukup kukuh bagi mempertahankan keputusan memansuhkan PPSMI 2012. Bimbang dasar dan keputusan yang selalunya dibuat orang politik tidak semuanya boleh dipercayai. Hari ini lain, tahun hadapan jadi lain.

Pengerusi GMP, Dato Hassan Ahmad dipetik dari malaysiakini.com berkata yang kerajaan perlu sediakan kelas pemulihan bagi murid-murid bagi merawat semula keciciran pembelajaran secepatnya tahun hadapan. Jika diteliti semua kajian dan dapatan para ilmuan, keadaan pencapaian khususnya luar bandar adalah parah sejak dasar ini dilaksanakan. PPSMI bukan cara memajukan murid malah melunturkan keupayaan murid disebabkan diajar dalam bahasa yang tidak dituturkan seharian kecuali orang-orang kaya.

Pak menteri perlu sedar, 2012 terlalu lama berbanding pelaksanaan PPSMI yang mengambil masa enam bulan. Masa itu, Pusat Perkembangan Kurikulum diarahkan untuk keluarkan statistik yang menyokong pelaksanaan PPSMI yang sememangnya baik. Risau pula nanti belum sampai 2012 ada pula cadangan lain kemudian keluar pula statistik merapu-rapu untuk kekalkan PPSMI.

Maklumlah suara hati senang berubah, inikan pula suara hati orang politik yang memang selalu berubah...

 

Betulkan, memang gagal sebenarnya PPSMI
Ditulis oleh: Fadzli, 10 July 2009 , Komen : 2

Ada rakan-rakan pendidik yang menjerit dalam bilik guru dengan dua nada yang berbeza. Pertama mereka menjerit kerana tidak perlu ajarkan lagi bahasa yang membelit lidah semasa mengajar sains dan matematik dalam BI. Kedua ada di antara yang menjerit dan mengeluh hilang elaun subjek sains dan matematik. Begitupun, tahun 2012 yang disasarkan untuk ditamatkan riwayat PPSMI mengundang rasa kurang senang sesetengah pendidik. Kata mereka, mengapa tidak tahun depan?

 


Benarlah, sistem pendidikan kita suka melakukan perubahan drastik. Semasa mahu umum PPSMI, cakap terus buat. Untuk tamatkan PPSMI kena tunggu 2012. Kata timbalan menteri, kita mahu soft landing. Bagi sesetengah orang, kita rasa ada jerung makan tidak habis lagi peruntukan PPSMI. Siapa ? kena tanya siapa yang dapat kontrak. Berapa harga PPSMI? 5,6,7,8,9 atau 10 sen. BUKAN!  **  billion. Cuba tanya murid sekolah rendah billion itu berapa angka sifar kena tulis?

Begitu mudah bukan macam beli tepung di kedai runcit. Benarlah jika orang kata dahulu jika kerajaan mahu bina jambatan Pulau Pinang, ramai yang kata gila sebab ia terpanjang ketika itu. Ironinya sekarang kerajaan betul sebab jambatan sesak kena buat baru. Tetapi dalam isu PPSMI, mungkin kerajaan mengaku ia sudah tidak berjaya sebab dalam pendidikan mana boleh ada tikus eksperimen yang banyak buat eksperimen tanpa kaedah dan radas yang jelas dan sesuai Tambahan lagi PPSMI yang dibuat seolah-olah macam masak Mee Segera.

Cikgu dan Labu-labi P.Ramlee
Ditulis oleh: Fadzli, 07 July 2009 , Komen : 1

Kata ramai rakan pendidik yang menyamakan kesungguhan cikgu hanya sebagai usaha mimpi seperti dalam cerita labu-labi (P. Ramlee). Sambil berbual dengan dengan bekas orang kementerian, beliau ada menyatakan guru di Malaysia sebenarnya tidak kering dengan idea. Kenyataan beliau menimbulkan rasa pelik dalam hati saya. Selama ini ramai guru atau cikgu yang pandai mencadangkan sesuatu lebih mudah dikesampingkan. Pendek kata, dalam dunia pendidikan cikgu diasuh hanya menjadi pengikut berbanding pemimpin. Samalah juga dengan babak Labu dan Labi berangan-angan menjadi itu dan ini yang sudahnya hanya membuat bising sehingga Tuan Haji Bakhil bangun dan memarahi serta mengancam untuk melesing mereka. Cadang apa sahaja, cikgu hanya orang biasa lebih baik diam sahaja.


"Cikgu di negara kita ini banyak idea mengenai dunia kependidikan." kata beliau

"Apa benar kata tuan?" pertanyaan pelik saya kepada beliau

"Memang benar, ramai cikgu yang berpotensi tetapi potensi mereka dibunuh dengan senyap." jelas beliau lagi

"Bagaimana potensi guru dibunuh tuan." tanya saya lagi

Dengan lantang beliau berkata,

"Pendapat tidak didengar, malah dianggap ancaman kepada pihak pengurusan."

Cuba kita sebagai pendidik renungkan ungkapan pendapat tidak didengar oleh pengurusan. Jika cikgu yang lebih tahu kedudukan dan keadaan pendidikan sekolah mempunyai pendapat yang selalunya dianggap sebagai sampah sahaja. Apa yang penting dalam sistem pentadbiran pendidikan kita, siapa atas merekalah yang berkuasa. Orang di bawah ikut sahaja.

Dalam apa sahaja isu, cikgu sudah malas mahu memberi pendapat, alih-alih bukan sahaja pendapat tidak didengar malah dituduh sebagai pengacau. Mudahlah bagi mereka membunuh potensi karier seorang cikgu.

6000 kelengkapan sekolah di Manek Urai : Gula-gula biasa atau mahu pancing ikan
Ditulis oleh: Fadzli, 06 July 2009 , Komen : 1

SweetCandy_t.jpgApabila membaca malaysiakini,  6000 kelengkapan sekolah akan dihamburkan di sekitar Manek Urai supaya menonjolkan keprihatinan kerajaan membantu golongan pelajar. Kejadian seperti ini banyak berlaku jika ada sahaja pilihanraya kecil mahupun umum yang selalu dikaitkan dengan teknik asas pancing undi. lebih mudah untuk beri kelengkapan sekolah daripada memberi perkara yang lain disebabkan teknik ini umpama memancing undi melalui anak-anak sekolah supaya kelak ibu bapa mereka dapat menyokong mana-mana parti politik yang memberikan bantuan berkenaan.


Sekali pandang, ia berupa bantuan. Namun, kali kedua pandang lain rasanya. Rakan saya yang bekerja di sebuah restoran makanan segera memberikan respon yang menarik untuk difikirkan. Menurut beliau, teknik memancing pelanggan ke restoran makanan segera adalah dengan menyediakan kemudahan tempat permainan supaya apabila ibu bapa menjamu selera, mereka bebas daripada gangguan anak-anak semasa makan kerana anak-anak kecil mereka leka bermain di sudut permainan. Diharapkan dengan keadaan begitu, ibu bapa lebih selesa menjamu selera serta mampu mengeluarkan wang lagi bagi manambah pesanan.

Justeru perkaitan yang sama dengan bantuan kilat ini diberikan kepada semua pelajar Manek Urai sedangkan sebelum ini tiada seorang pun yang peduli kedudukan dan senario Manek Urai kecuali menjelangnya pilihanraya kecil. Ternyata tindakan sebegini adalah perkara yang kurang sesuai untuk memancing undi sebab mengapa dahulu tidak salurkan bantuan walaupun tiada pilihanraya. lebih senang dikatakan, ini taktik lama yang menggunakan pelajar semata-mata. Pendekatan ini tidak ubah sebagai gula-gula yang diberikan kepada anak kecil apabila menangis. Hari ini beri gula-gula, lepas itu tiada modal sebab permintaan kanak-kanak berkadar langsung dengan barang yang lebih mahal selepas itu...Cikgu semua sudah pandai fikirlah....

Cikgu muda ubah persepsi pelajar malas kepada rajin
Ditulis oleh: Fadzli, 03 July 2009 , Komen : 2

Siapa sangka orang muda juga berbakat dalam perguruan. Semasa menghadiri seminar pendidikan yang diadakan di sebuah IPTA cuti sekolah yang lalu memberikan laluan kepada saya berkenalan dengan seorang kaunselor yang juga di antara pembentang kertas kerja bertajuk ubah persepsi pelajar malas kepada rajin.


Ketika mendaftar, kertas kerja yang diedarkan ada diselitkan kajian beliau yang juga di antara kajian tindakan yang dibuat oleh kaunselor ini. Sungguhpun begitu manusia seperti saya sama seperti insan yang lain hadir seminar hanya apabila diarahkan. Berkata dalam hati saya,

"Alah, kertas kerja ini semua teori, semua orang boleh tulis sekolah mereka berjaya ubah itu dan ini." kata hati saya.

Sehinggalah saya cuba masuk bagi pembentangan rakan kauselor ini dan duduk minum bersamanya semasa seminar berhenti minum pagi. Saya mulakan perbualan dengan ayat biasa,

"Seronok dengar penbentangan cikgu tadi, tidak terasa mengantuk sedikit pun."sapa saya umpama mengampu.

" Betul ke ini? Atau sahaja mengusik saya." kata beliau dengan sedikit curiga

"Betul cikgu, hampir menangis pun ada cikgu. Sebab susah mahu tukar perangai budak-budak ini sekarang." kata saya dengan nada ingin lebih tahu

Semasa berbual, beliau berkongsi pengalaman semasa permulaan bergelar kauselor sekolah. Pembentangan beliau ada menunjukkan wajah-wajah pelajar yang dahulunya dilabelkan malas atau tidak berpotensi kemudian kini ada yang bergelar usahawan muda berjaya walaupun tidak menyambung pengajian ke peringkat universiti. Apabila beliau sampai sahaja ke sekolah, tidak dinafikan semua cikgu dan pentadbir memang mempunyai kerjasama yang baik. Namun begitu, pelajar-pelajar sahaja yang bermasalah sehingga merasakan bersekolah bukan lagi membuatkan mereka pandai namun membuatkan mereka lebih terkongkong.

Bermula saat itulah, beliau mula mengenali seorang demi seorang muridnya yang menyebabkan kaunselor ini bekerja siang dan malam hanya mencari maklumat semua pelajar sekolah itu.

"Hari-hari saya cari maklumat, masuk kampung cari rumah mereka. Berkenalan, memahami budaya dan ibu bapa mereka." jelas beliau

Usaha beliau adalah bermula dari hati. Keyakinan beliau menyebabkan semua tindakan beliau menjadi positif walaupun bekerja seorang diri demi mencari maklumat pelajar-pelajar yang bermasalah. Kata beliau lagi, mereka bukan bermasalah namun hilang punca untuk belajar kerana situasi keluarga yang tidak mengizinkan. Kebanyakan ibu bapa mereka bekerja kilang, buruh dan bekerja sendiri di kampung. Nyata sekali, status ekonomi semua pelajar ini boleh dikatakan sederhana dan miskin.

Selepas mendapatkan maklumat, beliau kerap turun padang bertungkus-lumus membina repoh yang baik dengan ibu bapa terlibat dan komuniti sekitarnya. Sehingga beliau pernah menghabiskan duit simpanannya semata-mata membeli buku-buku rujukan disebabkan kebanyakan pelajarnya kurang meiliki buku-buku berkenaan. Bagi beliau, jika ibu bapa tidak mampu atau tidak mahu beli, biar sahaja beliau yang belikan. Lagipun siapa lagi yang mahu tolong jika buka guru sendiri yang menolong anak muridnya. Budaya itu kemudiannya diikuti oelh guru-guru yang lain sehingga pelajar-pelajar yang bermasalah segan-silu dengan komitmen guru berkenaan.

"Bayangkan, ada yang tidak mahu terima buku yang kami beri sebab ada di antara mereka akan berusaha membeli sendiri." kongsi beliau lagi

Beliau berkata lagi, selepas mendapat reaksi berkenaan, baharu kami guru-guru menerapkan semua jenis motivasi, ulangkaji terancang dan pelbagai program pembangunan rohani sehingga ada di antara mereka berada di kelas tidak bermaya kini mampu berada di universiti. Sungguh pun begitu, ada yang kurang berjaya namun beliau bersama-sama rakan-rakan guru yang lain yakin dengan ilmu Gardner atau kecerdasan pelbagai.

"Bagi kami mudah sahaja, semua pelajar ada potensi. Cuma kami kena kerja keras cungkil potensi mereka. Ternyata ada yang yang berjaya jual sayur selepas SPM sekarang sudah jadi tauke serta ada dua cawangan lagi." jelas beliau lagi.

Borak kami terhenti apabila sesi seminar disambung semula. Semua orang tersentuh ketika di akhir pembentangan beliau yang menunjukkan gambar-gambar imej pelajar sebelum dan selepas berjaya. Dengan gerai sayur yang kehijauan, pelajar yang malas kurang pandai pun berjaya walaupun berstatuskan peniaga sayur. Ingat ada dua cawangan gerai .....

Kadang-kadang cikgu tidak sengaja
Ditulis oleh: Fadzli, 02 July 2009 , Komen : 6

Semasa berbual dengan rakan pendidik yang datang ke rumah saya, agak tersentuh mendengar cerita beliau. Rakan saya ini baharu sahaja memulakan tugas di Perlis setelah berpindah daripada Johor. Beliau kini bergelar pengetua selepas 20 tahun menjadi guru. Peristiwa pertama yang beliau ceritakan semasa sampai bagi melaporkan diri adalah beliau sendiri ditahan  Guru Penolong Kanan Pentadbiran kerana terlewat seminit dari masa. Guru berkenaan tidak kenal rakan saya memandangkan beliau hanya bermotosikal ke sekolah pada pagi itu. Jadi, beliau dianggap cikgu baru yang kebetulan terdapat tiga orang cikgu  yang juga perlu melaporkan diri pada hari yang sama.


Setelah dikhutbah dengan nada yang baik, beliau diajak ke pejabat tanpa berkenalan terlebih dahulu. Dalam hati rakan saya ini, hanya sabar sahaja yang menjadi azimat ketika itu. Selepas sampai seterusnya diajak duduk dalam bilik GPK (pentadbiran) sehingga bermulanya induksi khas yang diadakan. Sehingga itu, GPK berkenaan masih belum tahu siapa di hadapannya memandangkan GPK hanya mengagak beliau di antara guru yang bakal melaporkan diri hari itu. Rakan saya ini juga masih tidak bersuara kecuali hanya memberitahu nama yang kemudiannya disemak oleh GPK bukan di antara guru baru yang perlu melapor diri ke sekolah berkenaan.

Rasa bahang mula terasa, GPK menggaru kepala kerana siapa manusia ini di hadapannya? Hanya apabila pembantu tadbir mengetuk bilik kemudian memanggil GPK, keluar sebentar serta masuk kembali selepas beberapa minit. GPK pula seraya berkata:

"Maaf Tuan Haji, saya ingatkan cikgu baharu tadi sebab tuan haji datang dengan motor sahaja."  jelasnya dalam keadaan sedikit menggigil

"Tidak mengapa cikgu, itu tugas saudara, saya bangga dapat GPK macam cikgu senang kerja saya, tegas dan maklumlah orang muda." jawab rakan saya dengan selamba.

Secara tidak sengaja perkara yang boleh mewujudkan konflik hanya dapat dipadamkan dengan sekelip mata dengan mengurangkan prasangka buruk dan melihat perkara yang baik dibuat oleh orang bawahan kita. Dalam kes rakan saya ini, beliau menurut sahaja dan membiarkan ketegasan GPK beliau serta mahu melihat sejauh mana tindakan GPk berkenaan sehingga beliau dapat membaca bakat kepemimpinan orang bawahannya menjalankan tugas.

Akhir perjumpaan saya dengan beliau, nasihat utama bagi menjadi pemimpin adalah perlu kreatif melihat potensi dan bakat orang bawahan supaya akhir nanti dapat membentuk kerjasama kumpulan yang berkesan. Dalam konteks sekolah, pentadbir mencorakkan budaya sekolah, jika kena caranya semuanya berjalan lancar. Jika tidak pening kepala dibuatnya...

Hal kenaikan pangkat memang selalu nama cikgu tercicir
Ditulis oleh: Fadzli, 02 July 2009 , Komen : 0

Sengaja atau tidak sengaja diperlakukan sebegitu. Pendidik menerima bahana kesan pengurusan yang tidak menjadikan faktor kemanusiaan sebagai perkara utama dalam hal kenaikan pangkat. Isu DG 29-32 yang dinaikkan kepada DG 41 menerima kesan walaupun pengalaman mereka berpuluh tahun. Kenaikan gaji mereka seolah-olah ditangguhkan walaupun bergerak ke tangga DG41. Begitu juga rungutan terbaru dengan masalah yang dihadapi guru-guru tingkatan enam yang juga seolah 'ditangguh' kenaikan pangkat.


NUTP hari ini melaporkan ratusan guru yang menghadapi masalah sedimikian sehingga memberikan tekanan. Tahu atau buat-buat tidak tahu mengenai perkara ini seharusnya menjadi tanggungjawab mereka yang bergelar pentadbir dan orang pandai-pandai di PPD. Selalunya mereka ini dikatakan kurang prihatin mengenai hal sebegini. Rezeki orang tuan-tuan, jika sampai masa beri sahajalah mengapa suka tangguh-tangguh. Jika perkara ini berlaku kepada tuan atau sesiapa adik-beradik tuan adakah tuan membuat tuntutan yang sama untuk naik pangkat...Baca lagi

Cikgu j-qaf tidak disenangi pentadbir?
Ditulis oleh: Fadzli, 30 June 2009 , Komen : 1

Cikgu J-Qaf atau lebih tepat lagi usataz dan ustazah j-qaf dikatakan kurang disenangi pentadbir bagi segelintir sekolah. Serupa dengan nasib semua cikgu KPLI, mereka juga menerima tempias yang sama. Kebanyakan alasan segelintir pentadbir yang  kurang berpuas hati dengan prestasi pengajaran j-qaf kerana mereka sudah awal-awal lagi di posting ke sekolah berbanding KPLI. Mereka hanya akan masuk IPGM hanya ketika sekolah bercuti. Kehidupan mereka selama setahun setengah adalah sebegitu.


Kami juga banyak mendapat respon rakan-rakan j-qaf yang mereka tidak disenangi pentadbir kerana membawa imej Islam yang kadangkala disalahtafsir sesetengah pihak. Walaupun mengajar Arab dan Al-quran, imej sebagai ustaz yang selalu mempertikaikan program sekolah yang berentak asing buat mereka dikatakan sebagai punca konflik dengan pentadbir. Keadaan ini mungkin kurang dirasai di sekolah yang berada di luar bandar namun mungkin sedikit berlainan di sekolah-sekolah yang berada di luar bandar.

Kami berasa kadang-kadang perkara ini sengaja dipolemikkan oleh segelintir pentadbir yang kurang senang dengan kehadiran mereka. Semua orang kurang faham dengan tekanan yang dialami cikgu j-qaf kerana mengajar bahasa yang memang asing buat murid si sekolah iaitu arab. Begitu juga al-Quran yang diajar kepada murid. mereka semua bertungkus lumus demi memastikan murid dibangunkan spiritualnya supaya mampu menjadi insan yang kamil.

Mesin fotostat hanya hiasan di sekolah
Ditulis oleh: Fadzli, 29 June 2009 , Komen : 6

Seorang rakan pendidik bercerita tentang masalah beliau kepada saya, semua sekolah ada mesin fotostat tetapi fungsinya hanya hiasan. Saya banyak mendengar keluhan warga pendidik tentang hal ini. Namun kali ini beliau betul-betul marah. Halnya mudah, beliau banyak perkara perlu dibuat salinan namun sekolah tidak memberikan kebenaran membuat salinan menggunakan mesin fotostat. Walhal, semua kerja diberikan pentadbir untuk disudahkan. Terpaksa pula beliau fotostat di luar menggunakan duit sendiri. Apabila dibangkitkan dalam mesyuarat bersama pentadbir, jawapannya mudah kita tidak banyak peruntukan untuk membeli kertas dan toner.


Apa boleh pakai alasan sebegitu? Sebagai insitusi ilmu, kertas perlu banyak digunakan terutama fotostat latihan untuk pelajar dan pelbagai salinan surat serta pekeliling. Cuma, ada sesetengah sekolah meletakkan syarat untuk fotostat yang melarang penggunaan untuk hal peribadi. Itu tidak mengapa, namun menghalang untuk fotostat yang kerja diberikan pentadbir, apa halnya sebegitu. Kerja mereka yang bagi, duit cikgu pula kena keluarkan. Pelik bukan!

Beban, pujian, hinaan semua diletak pada guru.
Ditulis oleh: Fadzli, 28 June 2009 , Komen : 1

Perkara ini memang biasa terjadi kepada guru. Malah ia bukan sebagai rungutan seorang cikgu. Jika terbeban, guru yang memikul tanggungjawab tanpa siapa yang tahu. Menjadi guru semua kena tahu pekeliling, mengajar, bersukan, pertolongan cemas dan lain lain. Sesetengah orang kata, kerja guru senang datang pagi balik tengahari ataupun petang. Murid cuti, cikgu pun cuti. Realiti di luar memang begitu, namun hakikatnya cikgu bekerja tanpa henti, silap haribulan cepat kena serangan jantung.


Cikgu juga mudah mendapat pujian jika dapat guru besar dan pengetua yang tahu menghormati tugas guru. Pujian selalunya susah diberi pentadbir, kerana cikgu sudah semestinya perlu menyudahkan kerjanya. Jika mengajar tidak betul dan penguasaan kandungan pengajaran tidak betul cikgu juga dipersalahkan. Dihina adalah perkara yang selalu diterima kerana mudah dipersalahkan jika dasar atau polisi pendidikan tidak berjalan dengan sebaiknya. Samalah seperti polisi PPSMI, polisi semua betul walaupun kajian tiada, yang salah guru kerana tidak pandai bahasa Inggeris.

Sekolah Rendah sahaja dikecualikan daripada PPSMI
Ditulis oleh: Fadzli, 26 June 2009 , Komen : 0

Khabar angin di kalangan pendidik yang menyatakan PPSMI tidak dikekalkan bagi sekolah rendah sahaja kini bertiup kencang. Menurut sumber, PPSMI hanya terus dilaksanakan di peringkat menengah dan seterusnya. Keputusan yang bakal diumumkan pada awal Julai nanti juga mungkin tidak mempunyai perubahan drastik memandangkan perbelanjaan kerajaan sudah berbilion.


Sungguh pun begitu, bagi tidak menimbulkan kesukaran penentangan yang kuat daripada profesional dan pejuang bahasa, keputusan ini dilihat sebagai tempelan supaya memuaskan hati semua pihak.

Waktu mengajar yang membebankan
Ditulis oleh: Fadzli, 25 June 2009 , Komen : 3

Selagi mana bergelar cikgu, masa mengajar memang menjadi isu utama di sekolah. Mengajar bukan seperti kerja pejabat. Stres mengajar menyebabkan cikgu sering hilang tenaga apabila pulang ke rumah.  Ke mana tenaga cikgu habis ketika mengajar? Kebanyakan guru terpaksa melalui masa mengajar selama 29-32 jam seminggu. Persediaan cikgu bermula sebelum,semasa dan selepas mengajar.


Selain daripada itu, cikgu juga tidak semestinya mengajar subjek yang sama, kadang-kadang terpaksa bawa 2-3 subjek. Ini realiti, ini tidak termsuk lagi kerja-kerja pengurusan dan kokurikulum. Jika cikgu itu juga terpaksa pegang kelab, sukan dan persatuan, perit juga cikgu mahu berjuang. Tenaga habis dalam kelas dengan melontarkan suara yang nyaring sehingga dapat didengari blok sebelah. Begitu juga naik turun blok demi menyempurnakan penyampaian ilmu. Petang pula, melatih bola serta menjadi penasihat kelab.

Kata orang, kerja guru senang pergi pagi balik tengahari. Itu hanya kerja hakiki, kerja sampingan seperti pengurusan dan kokurikulum dan pelbagai laporan yang perlu dibuat. Jika tanya guru data, banyak benda perlu didokumentasi. Singgah pula ketua panitia, tabur pula surat mesyuarat perlu ke sana dan ke mari. Datang pula pentadbir, beri surat kursus di hujung minggu. Kauselor pula minta tolong sediakan nama-nama pelajar perlu sertai pesta pantun dan juga yang perlu di kaunseling. Sekejap lagi semua pemain sekolah akan bertanya, pergi dengan kereta cikgu ke petang ini ke perlawanan persahabatan di sekolah si nun. Buka dompet tinggal sepuluh ringgit, itulah belanja minum dan petrol supaya kerja semuanya jalan.

Cikgu memang hero membina negara bangsa.....

Guru pun mahu dipaksa undi?
Ditulis oleh: Fadzli, 24 June 2009 , Komen : 0

Malaysiakini.com

Seramai 187 guru dan warga pendidik yang layak mengundi pada pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan diseru mengundi calon BN bagi memastikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) berjaya dilaksanakan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata walaupun pemilihan calon merupakan hak seseorang individu, namun sokongan terhadap kerajaan akan memastikan PIPP dapat dilaksanakan demi faedah generasi masa depan."Kita berharap para guru dapat membantu menjayakan agenda pendidikan negara ini," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Tambahnya, kerajaan kini dalam proses untuk membina negara bangsa yang cemerlang menerusi sistem pendidikan yang maju. "Kita juga sedang meningkatkan taraf guru dan untuk itu mereka mestilah bersama kita," Dr Mohd Puad dipetik berkata.


GURU TIDAK MUDAH DIBELI...

Membantu kemudian membantut
Ditulis oleh: Fadzli, 23 June 2009 , Komen : 0

Hari ini perhimpunan di sekolah mengumumkan beberapa pertandingan yang sedang dan akan dijalankan peringkat  zon,negeri dan nasional. Aktiviti sukan dan kokurikulum berasaskan kurikulum juga sedang rancak dijalankan di semua sekolah. Merentas desa juga dirancang sebelum tibanya ramadan. Motivasi juga mememenuhkan taqwim semua sekolah buat masa ini. Pelaksana yang setia yang bernama cikgu juga terpaksa pecut satu-persatu bagi merancang melaksana semua agenda ini. Sekiranya di awal tahun sekolah selalunya sibuk dengan Kejohanan Olahraga Tahunan dan pebagai pertandingan sukan utama, masuk penggal dua lebih banyak event yang perlu dilalui di sekolah.


Salah satunya program Permata Pintar yang sedang dijalankan yang mempunyai tiga kategori menjawab soalan dalam Sains dan matematik sebanyak 148 soalan. Selebihnya adalah penulisan kreatif bagi kategori sekolah rendah. Sememangnya program sebegini adalah baik buat murid sekolah. Namun apabila diteliti ucapan Penolong Kanan Pentadbiran (PK pentadbiran) agak mengejutkan saya.

"Cikgu sudah pun menampal makluman berkenaan pertandingan Permata Pintar ini. jadi kepada murid yang berminat menyertainya boleh berbuat demikian dengan mendapatkan borang daripada saya kemudian jika mahu mencuba sendiri, murid-murid boleh menggunakan aplikasi dalam talian (online) dengan menjawab soalan-soalan yang diberikan." maklum beliau

namun ada pra-syarat yang dikenakan kepada murid:

"Berminat sahaja tidak cukup, hanya yang PINTAR SAHAJA yang boleh masuk pertandingan ini. Jika ada murid yang kurang pintarnya tidak perlu masuk buat malu sahaja nanti." jelas beliau lagi

Sebagai pendidik, hati kecil saya terasa dengan pengumuman sebegitu. Walaupun murid-murid hanya ketawa hanya dengan ungkapan kurang pintar tidak perlu masuk buat malu sahaja, jadi apa perlunya diumumkan kerana kebanyakan murid di sini kurang pintarnya berbanding sekolah-sekolah yang elit.  Bagi saya, setiap murid ada potensinya, berilah peluang walaupun kita tahu murid kita tidak sehebat mana. Kita pendidik tahu keupayaan anak murid kita.

Walaupun potensi mereka setakat  mencuba dan tidak berjaya. Paling penting sikap murid yang mahu mencuba bukan setakat mana dia pintar menjawab soalan. Secara peribadi, sistem pendidikan ita masih lagi jauh menuju ke arah merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Semangat mencuba perlu diterapkan kepada murid sekurang-kurangnya kita melahirkan insan yang mahu mencuba dan mencabar kebolehan diri.

Sebagai pendidik, tugas kita adalah membantu, mendorong serta membangunkan keupayaan murid bukan cuba membantutkan peluang kecemerlangan diri mereka.

 

Komen